PENUHI KEHENDAK ANAK MUDA BUKTI BERSATU KOMITED SEBAGAI PENERAJU PARTI POLITIK ABAD KE-21

Sungai Petani, 1 Mei 2025 — Perlawanan Bola Sepak 9 Sebelah sempena Piala Ketua ARMADA Bersatu Bahagian Sungai Petani telah berlangsung dengan penuh semangat dan kemeriahan, menghimpunkan pasukan-pasukan belia dari seluruh kawasan Sungai Petani.

Program anjuran ARMADA Bersatu Bahagian Sungai Petani ini bertujuan untuk memupuk semangat kesukanan, memperkukuhkan ukhuwah sesama belia, serta menggalakkan penyertaan aktif golongan muda dalam aktiviti sihat dan bermanfaat.

Perlawanan yang berlangsung sepanjang hari itu telah menyaksikan persaingan sengit antara pasukan yang bertanding, dengan semua pemain mempamerkan semangat juang tinggi dan disiplin yang terpuji.

Ketua ARMADA Bersatu Bahagian Sungai Petani, Muhammad Najmie, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan penganjuran pertandingan ini.

“Tahniah kepada semua pasukan yang bertanding — sama ada yang menang mahupun yang tewas — kerana telah menunjukkan semangat perjuangan yang luar biasa. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada urus setia, para pengadil serta anggota JPAM yang telah bertungkus-lumus memastikan kelancaran program ini,” ujar beliau.

Muhammad Najmie turut menyatakan komitmen ARMADA untuk terus menganjurkan lebih banyak program pembangunan belia dan sukan akar umbi demi memperkukuh peranan pemuda dalam membentuk masyarakat yang progresif.

Majlis penutup turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada pasukan-pasukan terbaik serta sesi bergambar kenangan bersama para peserta dan penganjur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *