PENURUNAN HARGA BENIH PADI: “KERAJAAN JANGAN PERBODOHKAN PESAWAH” – ASHRAF MUSTAQIM

KOTA SIPUTEH, 15 April 2025 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, menyifatkan penurunan harga maksimum Benih Padi Sah (BPS) daripada RM58 kepada RM56 sekampit sebagai langkah kosmetik yang tidak menyelesaikan masalah sebenar pesawah.

Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau berkata penurunan sebanyak RM2 itu adalah terlalu kecil dan tidak memberi impak signifikan kepada golongan pesawah yang berdepan peningkatan kos pengeluaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kerajaan jangan perbodohkan pesawah dengan angka kecil semata-mata untuk menutup kegagalan memahami realiti di lapangan. Hakikatnya, sejak pentadbiran Madani bermula, harga benih padi telah meningkat sebanyak 65.7% manakala harga lantai belian padi hanya naik 25%,” katanya.

Mohd Ashraf turut membangkitkan jurang keuntungan yang ketara antara pengilang benih dan pesawah. Menurut beliau, harga semasa benih mencecah RM2,800 per tan metrik berbanding harga lantai belian padi yang hanya RM1,500 per tan.

Beliau menggesa kerajaan agar menyemak semula struktur harga benih supaya lebih adil kepada pesawah. Selain itu, beliau mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Kos Input Pesawah di peringkat nasional yang melibatkan penyertaan wakil pesawah sendiri.

“Jika benar mahu membela pesawah, harga benih yang wajar ketika ini adalah sekitar RM43, bukan RM56. Dasar sekarang hanya menguntungkan tauke benih,” tegasnya.

Beliau juga memberi amaran agar kerajaan tidak terus memperlekeh suara rakyat bendang, dan menegaskan bahawa pentadbiran Kota Siputeh serta ADUN Kedah akan terus membela hak pesawah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *