Perdana Menteri Wajar Gugurkan Hannah Yeoh Berikutan Penghakiman Kes Fitnah Musa Hassan

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan tegas menggugurkan Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh berikutan keputusan dan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan saman fitnahnya ke atas bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember 2024, telah menolak saman fitnah yang difailkan oleh YB Hannah Yeoh terhadap Tan Sri Musa Hassan berkenaan kenyataan yang dibuat oleh Musa semasa satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 30 Januari 2020, iaitu, bahawa Hannah Yeoh:
i. dikaitkan dengan usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian melalui buku beliau “Becoming Hannah”, dan
ii. mempunyai hubungan dengan golongan evangelis dan Yahudi yang boleh merosakkan Islam dan negara.

Dalam penghakimannya, Hakim Arziah Mohamed Apandi mendapati bahawa kenyataan Musa Hassan tidak bersifat fitnah dan bahawa Hannah Yeoh sendiri, melalui bukunya “Becoming Hannah”, mengakui peranannya sebagai ‘duta Tuhan’ dan usaha menyebarkan ajaran Kristian secara halus di Malaysia.

Dalam bukunya, Hannah Yeoh menyatakan bahawa beliau kembali ke Malaysia sebagai ‘Ambassador of God’ dengan niat menyebarkan ‘ajaran Tuhannya’ melalui penglibatan dalam politik. Buku ini ditujukan kepada semua orang, bukan hanya penganut Kristian.

Sebelum ini, pada 20 Mei 2017, seorang pensyarah, Dr Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) juga pernah membuat laporan polis terhadap Hannah Yeoh, mendakwa bahawa buku “Becoming Hannah” mempunyai unsur untuk menyebarkan agama Kristian dan berpotensi mempengaruhi pembaca Muslim. Walaupun Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak pernah mengharamkan buku “Becoming Hannah”, kandungan buku tersebut dan pengakuan penulisnya menimbulkan kebimbangan mengenai usaha penyebaran agama Kristian secara halus, yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan undangundang Malaysia yang melarang penyebaran agama bukan Islam kepada umat Islam.

Penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ini secara tidak langsung telah mengesahkan bahawa:
i. Hannah Yeoh sememangnya terlibat dengan gerakan evangelism dan usaha mengkristianisasikan negara ini dan keberadaannya sebagai Menteri Belia dan Sukan memungkinkan penyalahgunaan kuasa, kedudukan, peruntukan, sumber tenaga dan program-program Kementerian dan sebarang peruntukan yang berkaitan untuk melaksanakan dan menyempurnakan misinya sebagai pendakwah, ‘anak Tuhan’ dan ‘Duta Tuhan’
ii. buku ‘Becoming Hannah’ sememangnya mengandungi unsurunsur yang disebut oleh Dr Kamarul Zaman sebagai, “satu cubaan untuk memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seorang lain yang bukan beragama Kristian, termasuk yang beragama Islam, supaya menjadi penganut atau anggota
agama Kristian atau supaya cenderong kepada agama Kristian.”

Tulisan Hannah Yeoh di dalam bukunya yang berbunyi, “Jika kamu bukan seorang Kristian dan sedang membaca buku ini” (“If you are not a Christian and are reading this book”, muka surat 14) dan pendedahannya mengenai misinya sebagai duta Tuhan dan untuk mencari pengikut (“as “ambassador of God” and to make disciples of others”, muka surat 7)”, adalah bukti jelas bahawa Hannah Yeoh memang bermaksud supaya buku beliau turut dibaca oleh orang bukan Kristian. Malah Hannah Yeoh turut mempromosikan bukunya kepada sesiapa sahaja, di dalam kenyataan media beliau pada 15 Mei 2017 bahawa buku ini “boleh dibeli secara atas talian di Gerak Budaya atau mana-mana gedung buku utama seperti Kinokuniya, MPH, Popular dan Times”.

Lebih membimbangkan apabila Hannah Yeoh sendiri mengakui dan mendedahkan betapa dia menggunakan jawatan politik beliau (“my political office”) untuk berdakyah di gereja-gereja, kepada pemimpin-pemimpin dunia dan kepada orang-orang muda (“to preach at churches, to world leaders and to young people”, muka surat 108).

Tindakan Hannah Yeoh ini adalah menyalahi dan bertentangan dengan undang-undang di bawah:
i. Seksyen 4(1)(a) Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988 (Enakmen No 1/1988) yang menyebut “Seseorang adalah melakukan kesalahan jika ia memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seorang lain yang beragama Islam supaya menjadi penganut atau anggota suatu agama bukan Islam atau supaya cenderong kepada agama itu”.
ii. Seksyen 298(A)(1) Kanun Keseksaan kerana (a) menyebabkan, atau cuba menyebabkan, atau mungkin
menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau (b) memudaratkan, atau cuba memudaratkan, atau mungkin memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, di atas alasan agama.

Sehubungan dengan itu, BERSATU ingin menyembah perkara ini kepada pengetahuan dan perhatian DYMM Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu dan Majlis Raja-raja Melayu dan memohon pertimbangan agar suatu tindakan tegas dapat diambil ke atas Hannah Yeoh dan semua pihak yang terlibat dalam gerakan evangelism seperti yang didedahkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

BERSATU juga mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan segera untuk;
i. Menggugurkan Hannah Yeoh dari jawatan awam atas pengakuannya yang bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.
ii. Menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas kandungan buku “Becoming Hannah” yang mengandungi unsur penyebaran agama Kristian secara halus.
iii. Mengambil tindakan undang-undang terhadap Hannah Yeoh dan penerbit bukunya sesuai dengan peruntukan undang-undang Malaysia berkaitan penyebaran agama kepada umat Islam.

Tindakan tegas ini perlu diambil untuk memastikan keharmonian antara agama di Malaysia terpelihara dan undang-undang negara dihormati oleh semua pihak.

YB DATUK WIRA MAS ERMIEYATI BINTI SAMSUDIN
AHLI PARLIMEN MASJID TANAH
KETUA SRIKANDI MALAYSIA
PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA (BERSATU)
26 DISEMBER 2024