PERLUASAN CUKAI SST, KENAIKAN TARIF ELEKTRIK, PENYASARAN SUBSIDI RON 95; 3 DASAR UTAMA KERAJAAN MADANI HIMPIT RAKYAT TEKAN PENIAGA

PUTRAJAYA, 15 Jun 2025 — BERSATU sebagai parti komponen Perikatan Nasional (PN) hari ini menzahirkan kebimbangan serius terhadap pelaksanaan hampir serentak tiga dasar utama Kerajaan dalam separuh kedua tahun ini yang dijangka akan terus menekan rakyat dan komuniti peniaga.

Menurut Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Datuk Dr Radzi Jidin, dasar-dasar berkenaan meliputi perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kenaikan tarif asas elektrik, serta pelaksanaan subsidi bersasar untuk petrol RON95 — yang dijadual bermula secara berperingkat mulai Julai ini.

Beliau berkata, selepas peningkatan kadar SST daripada 6% kepada 8% pada Mac 2024 dan kenaikan harga diesel pada Jun tahun lalu, rakyat kini masih menanggung kos sara hidup yang tinggi, sementara peniaga pula berdepan tekanan kos operasi yang melonjak.

“Kenaikan kos ini bersifat berganda. Kos logistik meningkat, kos tenaga meningkat, dan kini lebih banyak barangan serta perkhidmatan bakal dikenakan SST. Akhirnya, rakyat sebagai pengguna akhir akan menanggung beban harga lebih mahal.”

Perluasan Skop SST ‘Mengejut’

YB Datuk Dr Radzi Jidin mendakwa tindakan Kerajaan memperluas skop SST kepada lebih banyak barangan dan perkhidmatan, termasuk perkhidmatan penting seperti sewaan, pembinaan, kewangan dan pendidikan, dibuat tanpa kerangka cukai yang holistik dan jelas.

Senarai barangan bercukai dikatakan bertambah mendadak daripada 62 muka surat kepada 222 muka surat, manakala senarai pengecualian pula berkurang secara signifikan.

“Kerajaan mendakwa hanya barangan premium terlibat, tetapi realitinya perluasan skop ini merangkumi barangan keperluan harian yang akan menaikkan kos rantaian bekalan secara keseluruhan.”

Beliau turut mengkritik penangguhan tarikh pelaksanaan asal dari 1 Mei ke 1 Julai 2025 sebagai tanda kerajaan belum benar-benar bersedia.

Kenaikan Tarif Elektrik dan Subsidi Bersasar

Selain SST, YB Datuk Dr Radzi Jidin turut mengecam kenaikan tarif asas elektrik yang diumumkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) hujung tahun lalu, yang bakal berkuat kuasa pada 1 Julai depan.

Walaupun kerajaan memberi jaminan kononnya 85% pengguna domestik tidak terjejas, beliau menegaskan kos tenaga tetap akan melonjak untuk peniaga dan industri, yang kemudian akan dipindahkan kepada harga barangan dan perkhidmatan.

Dalam isu subsidi bersasar RON95 pula, Radzi mempersoalkan kegagalan kerajaan menjelaskan definisi kumpulan ‘T15’ yang bakal membayar harga petrol lebih tinggi, sedangkan rakyat masih dibelenggu tekanan kos hidup yang sedia ada.

Desak Tangguh & Rangka Dasar Lebih Holistik

Sehubungan itu, BERSATU dalam Perikatan Nasional menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan dasar-dasar tersebut sehingga wujud kerangka percukaian dan jaringan keselamatan sosial yang lebih mantap.

“Pelaksanaan dasar cukai, kenaikan tarif tenaga dan subsidi bersasar ini mesti dibuat dengan perancangan holistik, sistematik dan teratur. Jika tidak, rakyat terus dibebankan hanya kerana kerajaan mahu menambah hasil negara dengan cara mudah.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *