KUALA LUMPUR, 7 Jun 2025 – Beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha, negara dikejutkan dengan pengumuman daripada syarikat minyak dan gas nasional, Petronas, bahawa lebih 5,000 pekerja akan diberhentikan sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan semula korporat.
Langkah ini melibatkan kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja Petronas dan dikaitkan dengan kemerosotan keuntungan syarikat secara berterusan. Petronas mencatatkan penurunan keuntungan sebanyak 32 peratus pada tahun 2024, selepas mengalami kejatuhan 21 peratus pada tahun sebelumnya.
Namun, tindakan kerajaan mengekalkan kadar bayaran dividen sebanyak RM32 bilion bagi tahun 2025 – sama seperti tahun sebelumnya – menimbulkan persoalan besar di kalangan pemerhati ekonomi dan ahli politik pembangkang.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malayisa BERSATU, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan media semalam mempersoalkan keputusan kerajaan yang menurutnya terus “memerah” Petronas walaupun syarikat tersebut sedang bergelut dengan prestasi kewangan yang merosot.
“Jika kerajaan tidak memerah Petronas dan mengambil langkah mengurangkan kadar bayaran dividen mengikut prestasi keuntungan semasa Petronas, penstrukturan semula yang memangsakan rakyat ini boleh dielakkan,” tegas beliau.
Hamzah turut menuntut penjelasan segera daripada pihak kerajaan mengenai rasional keputusan mengekalkan kadar dividen yang tinggi itu, serta mempertikaikan keutamaan kerajaan dalam menguruskan fiskal negara ketika kakitangan awam dan keluarga mereka terkesan.
“Kerajaan perlu memberikan penjelasan rasional mengapa dividen Petronas kekal diperah tanpa mengambil kira kejatuhan keuntungan syarikat dan kebajikan kakitangan? Rakyat berhak tahu, adakah ini pengurusan fiskal yang adil?” soal beliau.
Setakat ini, pihak kerajaan belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas berhubung isu ini. Situasi ini dijangka terus menjadi perhatian menjelang sambutan perayaan Aidiladha dan sidang Parlimen akan datang.