“PHBN BAKAL TELUR AYAM DI KELANTAN PRU DEPAN”, LAGI 150 AHLI UMNO SERTAI BERSATU TUMPAT

TUMPAT, 7 April 2025 – Bekas Ketua Wanita UMNO Cawangan Ketil, Mek Timah Mohamed bersama 150 ahli UMNO dari pelbagai cawangan dalam Bahagian Tumpat secara rasmi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tumpat selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan UMNO dalam memperjuangkan nasib orang Melayu.

“Dengan dinamika politik yang sedang berlaku di negeri ini, melihat kepada peningkatan sokongan terhadap Parti BERSATU yang semakin meningkat dan kekuatan sedia ada PAS, tidak mustahil Perikatan Nasional bakal sapu bersih kerusi DUN dan Parlimen di negeri ini pada pilihan raya akan datang dan tinggalkan telur ayam kepada PH-BN,” ujar salah seorang pimpinan dalam majlis tersebut.

Permohonan akar umbi UMNO tersebut untuk menyertai BERSATU telah dibuat pada Februari 2025 dan telah mendapat kelulusan sepenuhnya pada bulan Mac lalu.

Majlis penyerahan borang keahlian disempurnakan dalam satu program khas yang turut dihadiri oleh Ketua Bahagian BERSATU Tumpat, Tuan Wira Arjuna Muhamad yang juga merangkap Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU Negeri (BPN) Kelantan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YB Dato’ Kamaruddin Md Nor, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Kelantan merangkap Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Kelantan; YB Dato’ Hj Wan Roslan Wan Hamat, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi merangkap ADUN Pengkalan Kubor; YB Hj Mohd Adanan Hj Mohd Hassan, ADUN Kelaboran; serta YB Hj Mohd Rosli bin Abdullah, ADUN Wakaf Bharu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, langkah penyertaan besar-besaran ini mencerminkan gelombang perubahan politik baru dengan sokongan terhadap Parti BERSATU semakin meningkat bukan sahaja di Tumpat malah di negeri Kelantan secara keseluruhan.

Penyertaan ini dijangka memberi impak besar kepada landskap politik Kelantan menjelang pilihan raya akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *