AYER KUNING, 8 April 2025 – PERIKATAN NASIONAL hari ini mengumumkan Ustaz Abd Muhaimin bin Malek sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N48 DUN Ayer Kuning. Pencalonan beliau dianggap sebagai komitmen PERIKATAN NASIONAL untuk menampilkan tokoh muda, pemimpin generasi baru, kompeten, jujur dan amanah serta benar-benar berjiwa rakyat.
Ustaz Abd Muhaimin, 43, merupakan anak jati Ayer Kuning yang dikenali sebagai tokoh pendidikan, agamawan dan aktivis masyarakat. Beliau merupakan Pengetua Maahad Tahfiz ADDIN Air Kuning sejak tahun 2015 dan turut terlibat sebagai penggubal silibus kurikulum Yayasan ADDIN, selain memegang tauliah sebagai guru takmir di Negeri Perak.
Mempunyai latar belakang pendidikan di Syria, beliau telah lama mencurahkan khidmat dalam bidang dakwah, pendidikan dan pembangunan insan. Selain menjadi pensyarah jemputan dan motivator, Ustaz Muhaimin juga aktif dalam kerja kebajikan sebagai Pengerusi Persatuan Kebajikan & Pembangunan Insan Bidor serta AJK Masjid Jamek Air Kuning.
Dalam arena politik, beliau bukanlah figura asing. Beliau pernah memegang jawatan Ketua Pemuda PAS Kawasan dan kini menjawat sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan serta Pengerusi Perikatan Nasional Ayer Kuning sejak 2023.
Perikatan Nasional menzahirkan keyakinan bahawa Ustaz Muhaimin adalah calon terbaik untuk membawa suara rakyat Ayer Kuning ke peringkat yang lebih tinggi. Dengan gabungan pengalaman, keilmuan dan kerja buat di akar umbi, beliau diyakini mampu membawa perubahan bermaruah dan berpaksikan prinsip.