PUTRA HEIGHTS INFERNO; “HIDUP KAMI MUSNAH”, 94 KELUARGA MASIH TERPAKSA TIDUR DI PPS

Putra Heights, 11 April — Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Dato’ Seri Azmin Ali semalam melawat mangsa kebakaran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara PPS Dewan Masjid Putra Heights.

Insiden letupan saluran paip gas yang mengakibatkan kebakaran dahsyat di Putra Heights pada pagi Hari Raya terus mengundang rasa simpati dan keprihatinan masyarakat. Menurut YB Dato’ Seri Azmin Ali, ungkapan “berat mata memandang, berat lagi bahu memikul” amat tepat bagi menggambarkan penderitaan dan keperitan mangsa-mangsa tragedi ini, yang bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, malah turut terkesan dari segi emosi dan fizikal, sehingga ada yang mengakui bukan sekadar harta benda mereka musnah, malah hidup mereka sudah musnah.

Kebakaran yang berlaku seawal pagi Syawal itu telah memusnahkan bukan sahaja rumah serta harta benda, malah kenderaan dan haiwan peliharaan penduduk turut menjadi mangsa malapetaka ini. Ramai yang mengalami kecederaan akibat terkena serpihan bara dan bahang api yang melampau panas. Sehingga kini, trauma yang dialami mangsa masih belum pulih dan memberi kesan mendalam kepada kehidupan harian mereka.

Setakat petang semalam, seramai 94 keluarga melibatkan 357 individu masih berlindung di Pusat Pemindahan Sementara yang dibuka di Dewan Masjid Putra Heights. Di sinilah tempat mereka berlindung sementara menunggu bantuan dan penempatan semula yang lebih selesa.

Dalam lawatan ke pusat pemindahan tersebut, beberapa Ahli Dewan Negeri Perikatan Nasional bersama pimpinan Badan Pimpinan BERSATU Negeri Selangor hadir untuk mendengar sendiri kisah dan rintihan para mangsa. Walaupun diuji hebat, ketabahan dan semangat juang mangsa amat mengagumkan.

Mangsa yang ditemui merayu agar pihak berkuasa, khususnya Kerajaan Negeri, segera mengambil tindakan membaik pulih rumah-rumah yang musnah agar mereka dapat kembali ke kediaman masing-masing dan memulakan semula kehidupan yang terganggu.

Bagi pihak YB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional, satu sumbangan khas telah disampaikan kepada Tan Sri Mazlan Mansor, Pengerusi Yayasan Islam Darul Ehsan, untuk membantu meringankan beban mangsa tragedi.

Turut dizahirkan ialah penghargaan terhadap kecekapan dan pengorbanan pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, RELA, serta agensi kebajikan seperti JKM dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) yang bertungkus-lumus membantu sejak hari kejadian, meskipun dalam suasana sambutan Aidilfitri.