RAFIZI DIFAHAMKAN BERCUTI SEBULAN SELEPAS KEPUTUSAN PEMILIHAN? NEGARA PERLU FORMULA BERDEPAN CABARAN EKONOMI SUKAR

KUALA LUMPUR, 2 Mei 2025 – ARMADA BERSATU Malaysia hari ini melahirkan kebimbangan terhadap ketiadaan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Seri Rafizi Ramli, yang difahamkan sedang bercuti sebulan sehingga 31 Mei 2025 selepas keputusan pemilihan.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia, Harris Idaham Rashid, beliau menyifatkan tempoh cuti tersebut sebagai tidak wajar memandangkan negara sedang menghadapi cabaran ekonomi besar, khususnya susulan pengumuman Amerika Syarikat untuk menaikkan tarif import sebanyak 24%.

“Rakyat Malaysia tentunya berharap agar Menteri yang memegang portfolio berkaitan pelaburan, ekonomi, dan industri untuk mengerahkan seluruh usaha dan komitmen dalam memastikan ekonomi dan industri negara kekal kukuh,” ujar kenyataan itu.

ARMADA BERSATU turut menimbulkan soalan adakah tempoh cuti tersebut dengan kekalahan kumpulan pemimpin pro-Rafizi dalam pemilihan Jawatankuasa Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baru selesai di seluruh negara?

“Mengambil cuti pada waktu kritikal ini boleh menimbulkan persepsi bahawa ia adalah reaksi kepada keputusan pemilihan parti. Isu dalaman parti tidak sepatutnya dicampuradukkan dengan tanggungjawab kepada negara,” tegas Harris.

ARMADA BERSATU menyeru agar Perdana Menteri mengambil tindakan tegas dengan membatalkan kelulusan cuti tersebut, demi memastikan barisan Jemaah Menteri kekal fokus dalam usaha merangsang pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *