KUALA LUMPUR, 21 April 2025 – Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam melalui satu kenyataan media, menyuarakan kebimbangannya terhadap insiden pengusiran paksa di Menara Kuala Lumpur pada 16 April lalu, yang dikatakan berlaku walaupun pertikaian konsesi menara tersebut sedang dalam proses perundangan di mahkamah.
Perdana Menteri Malaysia Ke-8 itu juga turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang menggunakan agensi penguatkuasaan termasuk pihak polis untuk menyerahkan semula tapak Menara KL kepada syarikat konsesi baharu, sedangkan isu tersebut masih belum diputuskan secara sah oleh mahkamah.
“Saya terkejut apabila dimaklumkan bahawa rampasan paksa telah dilakukan sedangkan pertikaian ini sedang menunggu pengadilan. Ini memberikan persepsi yang amat buruk terhadap kerajaan,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyentuh tentang dasar negara untuk membantu usahawan Bumiputera yang berkemampuan, bukan menggagalkan mereka melalui penamatan kontrak atau pengambilalihan konsesi secara tidak adil.
Menurut YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, insiden ini bukan sahaja mencemar prinsip keadilan dan ketelusan dalam pentadbiran, malah mencabar asas Malaysia sebagai sebuah negara hukum.
“Kerajaan perlu tampil dengan penjelasan yang telus mengenai peralihan konsesi Menara KL ini. Jangan hanya mempertahankan satu pihak semata-mata. Rakyat berhak mendapat layanan yang adil dan saksama,” ujarnya lagi.
Beliau juga menegaskan bahawa tindakan mengenepikan syarikat Bumiputera yang telah lama mengurus Menara KL dengan rekod baik adalah tidak wajar, apatah lagi syarikat berkenaan kini terpaksa menanggung liabiliti melebihi RM300 juta.
“Saya berharap kepincangan dalam pengurusan aset strategik negara seperti ini dapat diperbetulkan segera demi memelihara kepentingan negara dan keyakinan rakyat,” katanya mengakhiri kenyataan.