Iskandar Puteri, 24 Mac 2025 – Sayap BERSATU Malaysia terus menunjukkan komitmen dalam membantu mangsa banjir di Johor menerusi Misi Bantuan Pasca Banjir yang melibatkan beberapa lokasi utama di negeri Johor.
Misi bantuan yang diketuai YB Hilman Idham, Ketua ARMADA BERSATU Malaysia bertolak dari Kuala Lumpur pada malam 23 Mac dan tiba di Iskandar Puteri, Johor bagi memulakan program sahur bersama para sukarelawan, yang terdiri daripada jentera Parti BERSATU, penduduk setempat, aktivis belia dan pelajar universiti.
Pada pagi 24 Mac, mereka memulakan operasi pembersihan di kawasan Taman Setia Indah, Tebrau, dengan lebih 100 sukarelawan dari Sayap BERSATU, berserta bantuan dari Balai Polis Taman Setia Indah, dan Badan Pimpinan BERSATU Negeri Johor. Sebanyak tujuh rumah yang terjejas akibat banjir dibersihkan dalam usaha meringankan beban mangsa.
Misi diteruskan ke lokaliti BERSATU Bahagian Johor Bahru bagi mengagihkan sumbangan raya dan bakul makanan kepada keluarga terjejas bersama Ketua Bahagian, Tuan Zulkifli Bujang. Pada sebelah petang, pasukan sukarelawan kembali ke Tebrau untuk mengedarkan bubur lambuk di bazar Ramadan sebelum menyertai program berbuka puasa bersama pegawai polis di IPD Taman Setia Indah.
Pada malamnya, misi beralih ke Kulai bersama YB Tosrin dan golongan belia tempatan sebelum menuju ke Kota Tinggi untuk program sahur dan pengagihan makanan kepada petugas awam di hospital, balai polis, serta balai bomba.
Misi bantuan ini diteruskan ke Mersing pada keesokan harinya bagi program Ziarah Kasih bersama YB Islah, Ahli Parlimen Mersing, dan pimpinan ARMADA Malaysia.
Menurut Sayap BERSATU Malaysia, misi ini bukan sekadar memberikan bantuan fizikal tetapi juga mencerminkan solidariti bersama rakyat yang sedang berdepan dugaan besar. Mereka turut meluahkan keprihatinan terhadap mangsa banjir yang kehilangan harta benda menjelang Aidilfitri, terutamanya di kawasan yang tidak pernah mengalami banjir sebelum ini.
“Ketika parti-parti lain sibuk dengan majlis berbuka puasa mewah, kami memilih untuk turun padang membantu rakyat yang memerlukan,” merujuk kenyataan Sayap BERSATU Malaysia.
Misi Bantuan Pasca Banjir ini mencerminkan keazaman parti untuk terus berkhidmat kepada rakyat, khususnya dalam saat-saat sukar akibat bencana alam.