SIAPA TANGGUNG KOS ANAK PMX IKUT LAWATAN RASMI KE RUSIA? – FAIZ RAHMAD

KUALA LUMPUR, 18 Mei 2025 — Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia, ARMADA BERSATU, hari ini menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), tampil memberikan penjelasan berhubung laporan bahawa beliau membawa anak lelakinya dalam lawatan rasmi ke Rusia baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Naib Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, Faiz Rahmad, pihaknya mempersoalkan sama ada kehadiran ahli keluarga Perdana Menteri itu adalah sebahagian daripada urusan rasmi negara atau sekadar percutian yang dibiayai oleh dana awam.

“Sebagai pemimpin tertinggi negara, PMX sewajarnya menunjukkan teladan terbaik, bukannya menyalahgunakan kedudukan untuk memberi keistimewaan kepada ahli keluarga dalam urusan rasmi negara,” tegas Faiz dalam kenyataan tersebut.

ARMADA BERSATU menuntut Perdana Menteri menjawab persoalan-persoalan berikut;

1. Apakah peranan rasmi anak PM dalam delegasi ke Rusia?

2. Siapakah yang menanggung kos perjalanan, penginapan dan pengangkutan beliau?

3. Adakah ini sebahagian daripada amalan biasa kerajaan — membawa ahli keluarga dalam misi rasmi?

Menurut Faiz, Perdana Menteri perlu menjawab semua persoalan di atas kerana tindakan seperti ini berpotensi mencetuskan persepsi negatif terhadap pentadbiran PMX dan boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap prinsip ketelusan dan akauntabiliti yang sering ditekankan oleh kerajaan. Setakat hari ini, Pejabat Perdana Menteri masih belum mengeluarkan kenyataan balas berhubung isu yang dibangkitkan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *