Kuala Lumpur, 27 Februari – Pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Institusi Pendidikan MARA (IPMA) meluahkan kekecewaan terhadap syarat baharu pinjaman pendidikan MARA yang didakwa diperketat secara tiba-tiba tanpa penjelasan rasmi.
Dalam satu kenyataan media oleh Aqmal, Ketua Penerangan Siswa Bersatu, mereka mendakwa keputusan ini tidak telus dan memberi tekanan kepada mahasiswa, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah. Ramai pelajar terkejut apabila mendapati permohonan pinjaman mereka ditolak dengan status “Tidak Layak” tanpa alasan yang jelas.
Syarat kelayakan minimum pinjaman MARA kini dinaikkan daripada CGPA 2.0 kepada 3.0, namun pelajar mendakwa bahawa kelulusan pinjaman masih belum dijamin walaupun memenuhi syarat tersebut. Mereka melihat perubahan ini sebagai satu bentuk penindasan yang menyulitkan golongan yang benar-benar memerlukan bantuan pendidikan.
Selain itu, mahasiswa turut mempertikaikan tindakan MARA yang dikatakan semakin menyimpang daripada matlamat asalnya untuk membantu Bumiputera mendapatkan pendidikan tinggi. Dengan kos pengajian mencecah RM10,000 setiap semester, ramai pelajar kini berdepan beban kewangan yang semakin berat.
Isu ini juga mencetuskan persoalan terhadap komitmen kerajaan dalam memperkasakan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada awal Februari lalu. Mereka berpendapat bahawa dasar baru MARA ini bertentangan dengan usaha memperkukuh TVET sebagai agenda nasional.
Sehubungan itu, Siswa Bersatu menggesa kerajaan dan MARA untuk menarik balik syarat baharu ini dan kembali kepada tujuan asal – memastikan akses pendidikan tinggi untuk pelajar Bumiputera tanpa diskriminasi.