SISWA GESA PERDANA MENTERI ANWAR IBRAHIM BEREHAT SEMENTARA PROSIDING MAHKAMAH BERJALAN 

KUALA LUMPUR, 6 Jun 2025 – Siswa Bersatu Malaysia hari ini mengeluarkan kenyataan media menggesa Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, untuk berehat sementara daripada menjalankan tugas rasmi susulan prosiding saman sivil yang masih berlangsung terhadap beliau.

Menurut Naib Presiden Siswa Bersatu Malaysia, Muhammad Hakim Bin Mohd Helmy, walaupun kes yang difailkan oleh Muhammad Yusoff Rawther masih belum diputuskan oleh mahkamah, langkah berehat atau bercuti adalah satu tindakan terhormat demi menjaga integriti jawatan Perdana Menteri serta persepsi rakyat.

“Kegagalan untuk mengambil langkah proaktif seperti berehat atau bercuti akan menimbulkan persepsi negatif terhadap komitmen kerajaan dalam menjunjung prinsip integriti dan kebertanggungjawaban,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambah beliau, keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan imuniti Anwar Ibrahim menunjukkan bahawa Perdana Menteri akan terus berdepan prosiding secara terbuka, sekali gus membebankan kedudukan beliau dari segi politik dan moral.

“Jawatan Perdana Menteri lebih besar daripada mana-mana individu. Jika beliau sayangkan negara dan rakyat, maka beliau harus segera berehat daripada tugas rasmi sehingga namanya benar-benar dibersihkan melalui proses mahkamah,” katanya.

Siswa Bersatu Malaysia turut menekankan pentingnya konsistensi dalam prinsip kepimpinan, dengan menyatakan bahawa tidak wajar wujud dua standard dalam soal integriti. “Jika pemimpin lain diarahkan berehat ketika disiasat atau dibicarakan, maka prinsip yang sama wajib diguna pakai terhadap Perdana Menteri,” jelas Muhammad Hakim.

Kenyataan itu turut menggesa agar kepimpinan negara tidak membiarkan isu peribadi mengganggu tumpuan terhadap urusan dan mencemarkan imej negara, terutama ketika Malaysia sedang berdepan cabaran ekonomi dan sosial yang mendesak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *