KUALA LUMPUR, 2 Mei 2025 – Ketua Suara ARMADA BERSATU, Muhammad Adil Qayyum tampil menyuarakan kebimbangan terhadap kenaikan harga telur yang terus menekan rakyat, menyifatkan langkah kerajaan menarik balik subsidi makanan asas sebagai “tidak munasabah” dan bertentangan dengan janji pilihan raya.
Menurut beliau, rakyat kini berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat, dan tindakan kerajaan mengumumkan pemotongan subsidi selepas tamat Pilihan Raya Kecil Ayer Kuning menimbulkan persoalan terhadap keikhlasan manifesto terdahulu.
“Manifesto dulu kata nak kurangkan beban rakyat, tapi kini selepas berkuasa, rakyat terus dihimpit,” katanya.
Beliau turut mempertikai alasan kerajaan bahawa kos pengeluaran telur telah kembali stabil, dengan menegaskan bahawa konflik global dan ketidaktentuan ekonomi seperti tarif Amerika Syarikat masih berterusan, menjadikan penarikan subsidi sebagai langkah yang tidak berasas.
“Adakah penarikan subsidi ini kerana kerajaan tidak mampu urus kewangan negara, susulan hutang negara kini meningkat kepada RM1.22 trilion – naik hampir RM50 bilion sejak awal 2024?” soalnya.
Sebagai langkah penyelesaian, beliau mencadangkan agar kerajaan mengurangkan cukai import ke atas soya dan jagung – bahan utama dalam makanan ayam – serta mewujudkan dana penstabil harga bagi membantu penternak sekiranya kos pengeluaran melonjak.
Selain itu, beliau menekankan pentingnya kerajaan memberi notis lebih awal kepada rakyat berhubung sebarang perubahan dasar, dan bukan selepas tamat pilihan raya.