“TAK KAN KITA NAK JAHANAM KAN MASA DEPAN PENDIDIKAN MELAYU BUMIPUTERA!”, PINJAMAN PELAJAR MARA DIPERKETAT 

Kuala Lumpur, 27 Februari – Ribuan pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMA), khususnya Universiti Kuala Lumpur (UniKL), berdepan kejutan selepas mendapati permohonan pinjaman pendidikan MARA mereka ditolak secara tiba-tiba tanpa alasan yang jelas.

Sebelum ini, syarat kelayakan untuk memohon pinjaman MARA adalah dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) minimum 2.0. Namun, baru-baru ini, syarat tersebut dinaikkan kepada 3.0, dengan tambahan sistem merit yang tidak dijelaskan secara terperinci kepada pelajar.

Akibat perubahan mendadak ini, hanya satu pertiga pelajar UniKL layak mendapat pinjaman pelajaran MARA, sedangkan universiti tersebut ditubuhkan oleh MARA bagi memastikan anak-anak bumiputera dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang teknikal dari peringkat sijil hingga ke PhD.

Keadaan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelajar dan ibu bapa, yang melihat tindakan ini sebagai ancaman kepada akses pendidikan tinggi bagi bumiputera, terutama dalam bidang TVET yang menjadi tumpuan pembangunan negara.

Mereka mendesak pihak MARA memberikan penjelasan konkrit mengenai dasar baru ini serta asas data yang digunakan dalam memperketatkan syarat pinjaman. Dengan rekod kebolehpasaran graduan UniKL mencecah 97.5%, pelajar dan ibu bapa mempertikaikan rasional di sebalik langkah ini.

Mereka juga berharap kerajaan dan pihak berkaitan campur tangan bagi memastikan pendidikan bumiputera tidak terjejas akibat perubahan dasar yang mengejutkan ini.

Sumber: TikTok Mas Ermieyati