TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN BERI SUMBANGAN KHAS BANTU MANGSA KEBAKARAN PAIP GAS PUTRA HEIGHTS

Putra Heights, 11 April — Prihatin dengan nasib mangsa-mangsa tragedi kebakaran akibat letupan saluran paip gas di Putra Heights yang berlaku pada pagi Hari Raya Aidilfitri lalu, Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin menyalurkan sumbangan khas bagi meringankan beban mangsa.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Setiausaha Agung BERSATU, YB Dato’ Seri Azmin Ali kepada Tan Sri Mazlan Mansor, Pengerusi Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), untuk diagihkan kepada mangsa. Setakat semalam masih ada 94 keluarga melibatkan 357 individu yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara PPS Dewan Masjid Putra Heights.

Ramai dari kalangan mangsa yang merayu agar pihak berkuasa segera membantu membaik pulih rumah kediaman mereka yang musnah. Mereka ingin kembali ke rumah dan meneruskan kehidupan seperti sediakala. 

Dalam masa yang sama, penghargaan turut diberikan kepada semua pasukan keselamatan dan agensi kebajikan seperti polis, bomba, RELA, JKM dan YIDE yang telah memberikan khidmat sejak hari pertama kejadian, meskipun dalam suasana sambutan Aidilfitri.

Usaha ini jelas mencerminkan komitmen dan keprihatinan BERSATU dan Perikatan Nasional dalam membantu rakyat yang sedang berdepan musibah dan cabaran hidup.