GERIK, 10 Jun 2025 — Satu tragedi menyayat hati telah meragut 15 nyawa melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam kemalangan jalan raya yang berlaku awal pagi semalam berhampiran Tasik Banding, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik. Seramai 33 lagi pelajar dilaporkan cedera dalam insiden tersebut.
Ahli Parlimen Gerik daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU YB Fathul Huzir Ayob dalam satu kenyataan media menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan besar yang dialami oleh dunia pendidikan dan negara.
Dalam kenyataan sama, beliau menggesa penubuhan segera satu Pasukan Tindak Pantas (Fast Response Team) yang kekal beroperasi di Pulau Banding. Pasukan ini dicadangkan agar terdiri daripada petugas kesihatan, polis, bomba, APM dan RELA bagi memastikan bantuan kecemasan dapat diberikan tanpa perlu menunggu pasukan penyelamat dari Bandar Gerik atau Jeli, yang mengambil masa antara 45 minit hingga sejam untuk tiba.
Beliau turut menekankan kepentingan menaik taraf Jalan Raya Timur Barat yang dibina sejak 1967, yang kini sudah usang dan tidak lagi sesuai dengan keperluan keselamatan semasa.
YB Fathul Huzir turut menyarankan agar pembinaan infrastruktur jalan yang baharu mengambil kira laluan hidupan liar seperti gajah dan harimau dengan membina jejambat khas atau terowong bawah tanah, mengambil contoh projek Rawang Bypass atau amalan dari luar negara.
Beliau mengakhiri kenyataan dengan menyeru semua pihak agar mengambil tragedi ini sebagai iktibar dan dorongan untuk menambah baik aspek keselamatan jalan raya serta infrastruktur negara demi kesejahteraan rakyat.
YB Fathul Huzir turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota barisan hadapan termasuk polis, bomba, pasukan perubatan dan agensi-agensi penyelamat yang bertindak pantas dan penuh dedikasi dalam menguruskan kejadian tragis itu.