Kuala Lumpur, 13 Mac – Presiden Pengasas BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA) mencadangkan supaya kerajaan menyediakan satu Kertas Putih Industri Padi dan Beras serta menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani isu ketirisan dan jenayah perdagangan dalam krisis padi dan beras.
Cadangan itu disuarakan selepas beliau menghadiri sesi pembentangan oleh wakil Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) sempena Majlis Iftar Institut Masa Depan Malaysia (MASA) malam tadi. Antara isu utama yang dibangkitkan ialah kenaikan kos input seperti benih, baja, dan racun yang tidak berkualiti, selain peningkatan kos perkhidmatan mesin dan jentera.
“Para petani juga mahu harga lantai padi dinaikkan daripada RM1,300 kepada RM1,800 per tan metrik bagi menampung kenaikan kos tersebut,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau menegaskan bahawa penyelesaian bagi masalah ini perlu mengambil pendekatan menyeluruh yang melibatkan semua pihak dalam ekosistem padi dan beras, termasuk pelbagai agensi kerajaan melalui cadangan Kertas Putih Industri Padi dan Beras.
Selain itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat bahawa satu Suruhanjaya Siasatan Diraja RCI patut ditubuhkan bagi menyiasat ketirisan dan jenayah perdagangan dalam industri padi dan beras, yang dikatakan telah mencetuskan keresahan dalam kalangan petani dan rakyat.
Majlis iftar yang dianjurkan oleh Institut MASA turut dihadiri oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah, felo, ahli-ahli bersekutu, rakan penyelidik, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta kanak-kanak asnaf.