Kuala Lumpur, 13 Mac – Naib Presiden BERSATU, Yang Berhormat Datuk Dr. Radzi Jidin menempelak Menteri Komunikasi semalam yang masih menegakkan bahawa suntikan dana kerajaan kepada Sapura Energy Berhad bukanlah satu bentuk “Bailout”, sebaliknya merupakan pelaburan strategik. Namun, persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen BERSATU itu adakah ini benar-benar bukan “Bailout”.
Memetik dari video yang dimuat naik oleh YB Datuk Dr Radzi Jidin, beliau merujuk Kamus Cambridge, “Bailout” bermaksud pinjaman atau sokongan kewangan yang diberikan kepada syarikat yang menghadapi masalah kewangan dan merujuk pula Investopedia yang menjelaskan bahawa “Bailout” berlaku apabila kerajaan menyuntik modal ke dalam syarikat yang bermasalah bagi mengelakkan kegagalan kewangan, termasuk kebankrapan dan ketidakmampuan membayar hutang.
Tambahnya lagi, Kajian dalam Journal of Banking and Finance yang menganalisis kes “Bailout” di seluruh dunia dari 1987 hingga 2005 turut mengesahkan bahawa tindakan menyelamatkan syarikat yang bermasalah dengan dana tunai, sama ada dalam bentuk ekuiti, pinjaman, atau pelepasan hutang, merupakan ciri utama “Bailout”.
Dalam konteks Sapura Energy, syarikat tersebut telah mencatatkan kerugian besar dan menghadapi masalah kewangan serius. Dengan dana kerajaan yang disuntik untuk menstabilkan syarikat, ia secara definisi menepati ciri-ciri “Bailout” seperti yang dihuraikan dalam sumber ekonomi dan kewangan utama.
Persoalan yang timbul dalam kalangan rakyat adalah, adakah istilah “pelaburan strategik” sekadar istilah baru bagi menjenamakan semula perkataan “Bailout”, atau adakah kerajaan mahu mengelakkan konotasi negatif yang sering dikaitkan dengan tindakan menyelamatkan syarikat berkepentingan yang selalu ditentang dahulu oleh Pakatan Harapan tetapi hari ini dilaksanakan.