UMNO PANIK BERDEPAN KEKALAHAN, GUNA TAKTIK FITNAH KELIRUKAN PENGUNDI AYER KUNING – YB SYED LUKMAN HAKIM

AYER KUNING, 25 April – Ketua ARMADA BERSATU Negeri Perak, YB Syed Lukman Hakim Bin Syed Mohd Zin, mengecam tindakan Laman Facebook Rasmi UMNO Negeri Perak yang didakwa menyebarkan tuduhan palsu terhadap bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, berkaitan isu kelulusan lesen kandang babi di negeri itu.

Beliau menyifatkan tuduhan kononnya Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu meluluskan 103 lesen kandang babi ketika menjawat jawatan Menteri Besar sebagai “fitnah politik murahan dan pembohongan terancang yang tidak bermaruah”.

“Dato’ Seri Peja telah menafikan secara tegas dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pencetus fitnah ini. Ini bukti jelas Barisan Nasional (BN) kini terdesak, ketandusan modal dan hilang arah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut ADUN Chenderoh itu juga, tindakan menyebarkan fitnah jahat dan maklumat palsu itu menunjukkan UMNO panik bakal berdepan kekalahan esok, maka terpaksa memilih untuk bermain politik kotor demi memenangi undi.

Namun, beliau yakin rakyat khususnya pengundi di Ayer Kuning tidak mudah terpedaya dengan taktik sedemikian.

“Pengundi Ayer Kuning bukan bodoh. Mereka matang dan celik politik. Mereka tahu menilai siapa yang benar dan siapa yang main kotor. Kita tolak politik longkang dan penyebar fitnah,” tegasnya.

Beliau menyeru rakyat untuk memilih calon berprinsip dan berintegriti, sambil menekankan sokongan terhadap calon Perikatan Nasional, Calon No. 2 di Ayer Kuning.

Kenyataan balas ini hadir susulan hantaran UMNO Perak yang mendakwa Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu meluluskan 103 lesen kandang babi semasa pentadbiran Perikatan Nasional, berbanding tindakan kerajaan BN Perak kini yang didakwa mengurangkan jumlah tersebut kepada 85 demi “sensitiviti umat Islam”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *