UNDANG-UNDANG DAN INSTITUSI NEGARA JADI ALAT KEZALIMAN REJIM MADANI, MUHYIDDIN BIMBANG MALAYSIA JADI NEGARA “GESTAPO”

KUALA LUMPUR, 13 Jun 2025 – Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan kebimbangan serius terhadap penyalahgunaan kuasa dalam institusi negara apabila undang-undang dan agensi penguatkuasaan didakwa digunakan sebagai alat kezaliman oleh kerajaan pimpinan Madani.

Beliau mendakwa bahawa pendakwaan terhadap Yusof Rawther yang sebelum ini memfailkan saman sivil terhadap Perdana Menteri atas dakwaan gangguan seksual, adalah satu bentuk tekanan politik yang mencemari prinsip keadilan dan integriti institusi negara.

“Kes ini menimbulkan persepsi bahawa terdapat konspirasi jahat untuk menutup mulut Yusof Rawther. Bukti-bukti yang dikemukakan dalam mahkamah terlalu diragui dan seolah-olah direka untuk menyabitkan kesalahan terhadap beliau,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Yusof tanpa perlu membela diri dilihat Muhyiddin sebagai bukti bahawa pendakwaan tersebut bukan sahaja lemah, tetapi juga mencerminkan niat politik terselindung. Hakim YA Datuk Muhammad Jamil Hussin dilaporkan memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Muhyiddin mengecam tindakan pihak berkuasa yang menurutnya menggunakan undang-undang untuk menindas individu tertentu demi melindungi penguasa.

“Ini adalah bukti jelas kebobrokan kuasa. Undang-undang yang sepatutnya menjadi pelindung rakyat dan penegak keadilan telah ditukar menjadi alat kezaliman oleh rejim Madani. Tuduhan jenayah berat yang membawa hukuman penjara seumur hidup digunakan sewenang-wenangnya,” katanya.

Beliau menyifatkan janji-janji reformasi kerajaan Madani sebagai satu hipokrasi besar dan menuntut sebuah Suruhanjaya Siasatan Di-Raja ditubuhkan bagi menyiasat kemungkinan penipuan dan salah guna kuasa dalam siasatan serta pendakwaan terhadap Yusof.

“Jika terbukti berlaku salah guna kuasa, semua yang terlibat termasuk dalangnya mesti dihukum dengan seberat-berat hukuman. Kita tidak boleh membiarkan institusi negara diperkosa demi kepentingan politik,” tegas beliau.

Muhyiddin turut melahirkan kebimbangan terhadap masa depan negara jika trend ini berterusan, menyamakan keadaan dengan zaman pemerintahan kuku besi.

“Saya bimbang Malaysia berkemungkinan menjadi negara Gestapo — apabila agensi penguatkuasa bertindak membuta tuli mengikut arahan politik. Ini amat berbahaya dan bertentangan dengan prinsip negara hukum,” katanya.

Beliau menekankan bahawa agensi-agensi penguatkuasaan mesti dibersihkan daripada anasir tidak bermoral dan perlu kembali kepada tugas asas — menegakkan undang-undang secara bebas dan adil.

Akhir sekali, beliau menggesa pihak berkuasa memberi jaminan keselamatan kepada Yusof Rawther susulan pembebasannya dan mengucapkan tahniah kepada hakim yang menurutnya berani membuat keputusan berdasarkan prinsip keadilan dan undang-undang, bukan tekanan politik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *