[KOLUMNIS] KESEDARAN BAHARU ATAU KESEDARAN PALSU?

Saya mengikuti dengan tekun dua kenyataan pemimpin UMNO dan DAP mengenai hubungan UMNO-DAP dan politik Melayu.

Pertama, kenyataan ahli MKT UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa dasar “No Anwar dan No DAP” sudah tidak relevan lagi.

Kedua kenyataan Naib Pengerusi DAP Sdr Syahredzan Johan bahawa tak mustahil suatu hari nanti Perdana Menteri Melayu Islam datang dari parti DAP.

Ya, kalau dilihat selapis ini mungkin hanya kenyataan politik yang tak perlu diberikan perhatian sangat. Mungkin hari ini kata lain, esok kata lain pula. 

Tetapi bila diselak selapis lagi, ia bukan kenyataan main-main. Ia serius. Timbul persoalan samada sudah wujud suatu kesedaran baharu (new consciousness) dalam kedua-dua parti ini.

Adakah UMNO yang secara ideologinya tidak sekupu (ideologically incompatible) dengan DAP sudah boleh menerima DAP (dan segala isi perjuangannya)?

Adakah DAP yang selama ini merupakan sebuah parti cauvinis Cina sudah bersedia untuk meletakkan seorang Melayu-Islam sebagai pemimpin utama parti?

Kenyataan Datuk Puad dan Syahredzan adalah kenyataan di peringkat elit pimpinan yang menunjukkan seolahnya sudah ada ‘perubahan’.

Di peringkat ahli-ahli dan penyokong parti pula bagaimana?

Di peringkat ini pun menunjukkan sudah ada trend perubahan terutamanya dari segi sikap mengundi (voting behaviour) yang boleh dibuktikan oleh data empirikal.

Malah, kenyataan Datuk Puad pun berlandaskan data empirikal yang beliau kutip daripada trend mengundi di dua PRK, iaitu di Nenggiri dan Mahkota yang  beliau anggap mungkin akan berterusan di Ayer Kuning.

Dalam PRK Nenggiri dan Mahkota, pengundi-pengundi Melayu UMNO kembali semula mengundi parti itu walaupun naratif kerjasama UMNO-DAP atau UMDAP dimainkan oleh Perikatan Nasional.

Ini menunjukkan seolahnya telah berlaku trend terbalik (reversed trend) berbanding Pilihanraya Negeri sebelumnya di mana sebahagian besar pengundi Melayu UMNO mengundi PN. Antara sebabnya ialah kerana mereka menolak langkah UMNO bekerjasama dengan DAP.

Malah, pengundi Cina-DAP pun memberi sokongan padu kepada calon Melayu-UMNO di Mahkota menyebabkan calon UMNO menang besar.

“Vote transferability” antara UMNO-DAP/BN-PH telah berlaku dalam PRK Nenggiri dan Mahkota. Sekiranya trend ini berterusan dalam siri PRK, PRN dan PRU-16 selepas ini, maka tidak mustahil gabungan BN-PH akan menjadi sebuah gabungan yang dominan dan membentuk hegemoni baharu dalam politik Malaysia.

Ini pemerhatian dari lapis trend mengundi yang boleh dibuktikan dengan mudah berdasarkan data empirikal keputusan pilihanraya.

Yang lebih rumit untuk dirungkaikan ialah pemerhatian dari lapis ideologi.

Seperti yang saya persoalkan di awal tulisan saya, adakah telah wujud kesedaran baharu dalam kalangan pengundi Melayu UMNO (dan juga pengundi Cina DAP) mengenai ideologi politik kedua-dua parti ini yang amat berbeza?

Adakah pengundi Melayu UMNO telah boleh menerima ideologi Malaysian-Malaysia DAP atau pengundi Cina DAP telah boleh menerima ideologi ketuanan Melayu UMNO? Yang mana satu?

Atau adakah trend mengundi mutakhir ini dipengaruhi oleh suatu ‘kesedaran palsu’ (false consciousness) yang dibina oleh elit penguasa untuk membentuk hegemoni politik baharu di Malaysia?

Are we ushering in a new hegemony in Malaysian politics?

Dalam tradisi Marxis, ‘kesedaran palsu’ inilah yang menyebabkan ‘kesedaran kelas’ (class consciousness) dalam kalangan golongan proletariat gagal menjayakan revolusi kelas pekerja untuk menggulingkan kapitalisme. Walaupun mereka ada kesedaran tentang kepentingan kelas mereka, tetapi mereka bertindak bertentangan dengan kepentingan tersebut dan secara sukarela (consensual), bukan secara paksaan (force), membiarkan dominasi kelas kapitalis ke atas mereka.

Dalam konteks Umno, adakah kesedaran palsu ini sedang membuai parti itu? Mereka sedar tentang ideologi parti, asas perjuangan parti dan kepentingan Melayu yang mendasari perjuangan mereka. Tetapi mereka secara sukarela sedang merangkul ketibaan suatu hegemoni politik baharu yang bertentangan dengan kepentingan dan kesedaran politik mereka. 

Kalau ada masa insyaAllah, saya akan ulas lebih lanjut mengenai “kesedaran kaum”, “kesedaran kelas”, “kesedaran palsu”, “hegemoni” dan “counter-hegemony” dalam konteks politik Malaysia dengan menyelusuri sejarah pertentangan ideologi politik, politik kaum, politik kelas dan politik pilihanraya di negara ini.

Berat diskusinya. Tetapi insyaAllah saya cuba permudahkan.

Oleh; Datuk Dr. Marzuki Mohamad, Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Institut Masa Depan Malaysia