KUALA LUMPUR, 30 APRIL 2026 – Perbicaraan melibatkan Presiden Pengasas BERSATU YB Tan Sri Muhyiddin Yassin di Mahkamah Tinggi semalam menyaksikan keterangan saksi yang mengesahkan bahawa semua transaksi berjumlah RM19.5 juta kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) disertakan dengan dokumen rasmi dan direkodkan secara telus.
Saksi pendakwaan kesembilan, Norazeanti Miswan, yang merupakan Penolong Pengurus Bank Muamalat Malaysia Berhad cawangan PKNS Shah Alam, memaklumkan bahawa setiap transaksi daripada Mamfor Sdn Bhd kepada BERSATU disertakan dengan surat rasmi yang jelas menyatakan ia adalah sumbangan kepada parti.
Menurut beliau, semua surat berkenaan dialamatkan kepada parti dan bukannya kepada Muhyiddin secara peribadi, sekali gus memperlihatkan bahawa sumbangan tersebut disalurkan kepada entiti politik, bukan individu. Sepertimana transaksi biasa yang diamalkan entiti politik lain.
“Semua dokumen sokongan dikemukakan kepada pihak bank dan transaksi direkodkan sepenuhnya,” katanya ketika disoal balas oleh peguam bela.
Dalam masa sama, saksi turut menjelaskan bahawa laporan transaksi mencurigakan atau Suspicious Transaction Report (STR) yang difailkan adalah sebahagian daripada prosedur dalaman standard institusi kewangan.
Beliau mengakui bahawa laporan sedemikian tidak semestinya menunjukkan berlakunya sebarang kesalahan, sebaliknya bertujuan melindungi pihak bank serta memastikan pematuhan kepada garis panduan kawal selia.
“Betul atau salah bukan penentunya, tetapi jika terdapat sesuatu yang luar daripada kebiasaan, menjadi tanggungjawab untuk melaporkannya,” jelas beliau.
Mahkamah turut diberitahu bahawa walaupun terdapat beberapa laporan STR dibuat susulan kekerapan transaksi dan jumlah yang besar, pihak ibu pejabat bank tidak pernah mengarahkan supaya transaksi melibatkan Mamfor dihentikan.
Selain itu, kesemua transaksi berkenaan dilakukan melalui 29 cek jurubank dalam tempoh 2021 hingga 2022, dan direkodkan secara rasmi tanpa sebarang unsur penyembunyian.
Perkembangan ini dilihat memberi gambaran bahawa aliran dana berkenaan dilaksanakan secara terbuka dengan dokumentasi lengkap, sekaligus menjadi antara perkara penting yang dinilai dalam perbicaraan.
Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, kini berdepan tujuh pertuduhan berkaitan program Jana Wibawa, termasuk dakwaan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi dijadualkan bersambung pada tarikh akan datang.
