KUALA LUMPUR, 30 Jun 2025 – Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa isu kenaikan kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat ketika ini berpunca daripada kegagalan kepimpinan kerajaan hari ini dalam menguruskan ekonomi negara dengan baik. Beliau berkata demikian dalam podcast “Ramai Yang Sindir” yang dihoskan oleh Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, YB Dr Afif Bahardin.
Dalam sesi wawancara tersebut, Datuk Tun Faisal mengutarakan soalan mengenai kenaikan harga barang, kenaikan tarif elektrik, termasuk peluasan skop cukai SST serta rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang dilihat semakin memberi tekanan kepada rakyat. Menurut beliau, keadaan ekonomi rakyat pada waktu pandemik dahulu tidak seteruk sekarang walaupun negara berdepan cabaran COVID-19 yang getir pada ketika itu.
Menjawab soalan tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin menekankan bahawa aspek kepemimpinan atau “leadership” adalah faktor utama dalam menangani isu ekonomi rakyat dan negara. Beliau berkata pengalaman memimpin negara mengajarnya untuk sentiasa mengambil pendekatan “hands on” dan tidak boleh sesekali lepas tangan dalam membuat keputusan melibatkan kehidupan rakyat. Tambah beliau, setiap pemimpin perlu mendapatkan taklimat mendalam dan menyeluruh daripada setiap jabatan, kementerian dan agensi dalam tempoh awal pentadbiran bagi memahami setiap dasar dan masalah rakyat dengan tepat.
YB Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyatakan bahawa kos sara hidup merupakan isu paling pokok dan utama yang dihadapi rakyat. Berdasarkan kajian oleh pelbagai institut penyelidikan dan universiti, beliau berkata majoriti responden meletakkan kos sara hidup sebagai kebimbangan nombor satu mereka. “Ini isu bread and butter, soal makan dan hidup rakyat yang mesti diutamakan,” tegas beliau dalam podcast berkenaan.
Beliau turut membandingkan situasi sekarang dengan zamannya sebagai Perdana Menteri yang terpaksa memimpin negara ketika berdepan pandemik COVID-19, di mana banyak sektor ekonomi terpaksa ditutup tetapi kerajaan ketika itu mengambil langkah pantas menangani masalah rakyat selain mengawal penularan wabak dengan berkesan. Katanya, pendekatan “hands on” dan kepimpinan yang prihatin merupakan kunci memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
