AZMIN TERIMA SAMBUTAN LUAR BIASA DI KEDAH, SERU AKAR UMBI BANGKIT LAWAN PENGUASA SOMBONG DAN BEBAL

SUNGAI PETANI, 29 JUN 2025 – Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali telah menerima sambutan luar biasa daripada kepimpinan dan akar umbi Parti BERSATU di Negeri Kedah sempena program KEMBARA BERSATU Negeri Kedah semalam dengan menyaksikan kehadiran penuh jentera daripada 15 Bahagian di seluruh Kedah termasuk kehadiran Ahli-Ahli Parlimen, ADUN, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ketua-Ketua Bahagian dan pimpinan parti.

Ketua ARMADA BERSATU Bahagian Sungai Petani, Mohd Najmie Amir, merakamkan penghargaan kepada YB Dato’ Seri Azmin Ali atas lawatan kerja beliau ke Sungai Petani. Najmie menegaskan ARMADA BERSATU Sungai Petani akan terus komited menjadi tulang belakang parti, menjunjung amanah serta bergerak seiring dengan aspirasi kepimpinan tertinggi dalam memastikan kemenangan besar Perikatan Nasional pada PRU16 akan datang.

Dalam sesi program tersebut, YB Dato’ Seri Azmin Ali menekankan perlunya BERSATU mempertahankan mandat besar yang diberikan rakyat Kedah sebelum ini apabila Perikatan Nasional berjaya menguasai 33 daripada 36 DUN dan 14 daripada 15 Parlimen di negeri itu. Beliau turut berkongsi analisa data pilihan raya serta langkah strategik untuk memperkukuh cawangan parti dan meningkatkan sokongan akar umbi menjelang PRU16. Naib Presiden BERSATU, YB Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin pula membincangkan isu semasa seperti peluasan SST yang membebankan rakyat dan menyeru pimpinan untuk terus menjuarai agenda rakyat.

Turut hadir memberikan sokongan penuh ialah Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham; Naib Ketua Srikandi, Dato’ Nolee Ashilin Mohd Radzi; dan Ketua Srikandi Muda, Cik Nurul Ezzati Azmi. YB Dato’ Seri Azmin Ali juga memperkenalkan aplikasi MyBERSATU sebagai langkah mentransformasikan pengurusan data parti ke arah pendigitalan, membina gerak kerja yang efisien dan moden untuk menghadapi PRU akan datang.

Selesai di Kedah, YB Dato’ Seri Azmin Ali bersama rombongan terus bergegas ke Kuala Perlis untuk meneruskan program KEMBARA BERSATU Negeri Perlis. Kehadiran beliau disambut penuh mesra oleh pimpinan negeri termasuk YB Abu Bakar Hamzah dan EXCO-EXCO Kerajaan Negeri Perlis. Dalam ucapannya, Azmin mengingatkan agar pimpinan tidak terlalu selesa dengan kemenangan sebelum ini sebaliknya memperkukuh jentera dan terus membela rakyat dalam isu kos sara hidup, inflasi, dan cukai.