CHENDEROH, 20 Oktober 2025 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, YB Tuan Syed Lukman Hakim, membidas tindakan Kerajaan Negeri Perak yang menyalurkan peruntukan kawasan melalui Pegawai Khas Menteri Besar (MB), dan bukannya melalui ADUN yang sah dipilih oleh rakyat.
YB Syed Lukman Hakim yang juga ketua sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU Negeri Perak menegaskan, pengumuman mengenai 25 Surat Kelulusan Peruntukan YAB Menteri Besar Perak bagi DUN Chenderoh berjumlah lebih RM 2 juta yang disampaikan oleh Mohamad Hamidi bin Baharuddin, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak pada 18 Oktober lalu bertempat di Dewan Arena Kati sempena Program Jelajah Chenderoh Dihati, jelas memperlihatkan amalan yang menyeleweng daripada semangat demokrasi.
“Ya, mereka memang menyebut ‘melalui Pegawai Khas MB’ — tetapi itulah puncanya masalah. Kalau begitu caranya, apa gunanya pilihanraya? Kalau setiap kali kerajaan bertukar, MB boleh abaikan ADUN pembangkang dan hanya gunakan Pegawai Khas sendiri, maka lebih baik bubarkan saja sistem demokrasi dan ganti dengan lantikan politik”, tegas beliau.
Menurut YB Syed Lukman Hakim, tindakan menyalurkan peruntukan melalui pegawai lantikan politik yang tidak mempunyai mandat rakyat bukan sahaja menghina keputusan pengundi, malah membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa serta diskriminasi terhadap kawasan pembangkang.
Beliau turut mendedahkan bahawa ADUN pembangkang hanya menerima peruntukan RM10,000 sebulan bagi keperluan kawasan, sedangkan sejumlah besar peruntukan ratusan ribu ringgit kini diagih atas nama DUN pembangkang tetapi dikawal sepenuhnya oleh pegawai khas MB.
“Ini bukan sekadar soal teknikal atau pentadbiran. Ia adalah pengkhianatan terhadap demokrasi dan isyarat jelas bahawa rakyat di kawasan pembangkang tidak akan dilayan secara adil. Jika slogan Perak Sejahtera 2030 mahu dijadikan dasar, maka prinsip keadilan dan demokrasi mesti dijunjung, bukan dikuburkan,” katanya lagi.
YB Syed Lukman Hakim menyeru agar semua peruntukan negeri disalurkan secara langsung kepada ADUN yang dipilih rakyat tanpa mengira parti, bagi memastikan setiap kawasan menikmati pembangunan dan kebajikan secara adil dan saksama.
