PENUBUHAN PANEL PEMANTAU KHAS WAKIL RAKYAT & PROFESIONAL ANAK SABAH PANTAU TAWARAN PN JADI TARIKAN PENGUNDI

KOTA KINABALU, 27 November 2025 – Perikatan Nasional (PN) mengumumkan komitmen baharu untuk memperkuat tadbir urus negeri dengan menubuhkan Panel Pemantau Khas bagi memastikan setiap janji yang dibuat kepada rakyat Sabah dapat dilaksanakan sepenuhnya sekiranya gabungan itu diberi mandat membentuk kerajaan.

Janji itu diumumkan ketika Majlis Pelancaran Tawaran PN bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17 yang berlangsung di Dataran Pomoi pada malam Sabtu. Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi PN merangkap Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, di hadapan ribuan penyokong.

Panel Pemantau Khas tersebut akan menjadi salah satu komponen utama di bawah Tunjang 2: Kasi Bagus Tadbir Urus Sabah, yang menumpukan agenda ketelusan, akauntabiliti serta reformasi institusi dalam pentadbiran negeri. Menurut dokumen tawaran PN, panel itu bakal dianggotai oleh wakil masyarakat dan golongan profesional anak Sabah yang memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang strategik.

PN menegaskan bahawa penubuhan panel bebas ini adalah mekanisme semak dan imbang yang kritikal, bertujuan memantau setiap projek, dasar serta pelaksanaan 159 tawaran di bawah 12 Tunjang utama. Melalui langkah ini, rakyat dijamin dapat menilai prestasi kerajaan secara telus, sekali gus memastikan segala komitmen tidak tinggal sebagai manifesto semata-mata.

Langkah tersebut turut digambarkan sebagai pendekatan baharu tadbir urus moden yang memberi kuasa dan suara lebih besar kepada rakyat Sabah, selain memperkukuh integriti dan keberkesanan kerajaan negeri. Panel ini juga dijangka berfungsi sebagai saluran aduan, pemantauan berterusan dan penilaian impak terhadap dasar-dasar utama negeri.

Tawaran PN bagi PRU DUN Sabah Ke-17 membawa slogan “Kasi Bagus Sabah” dengan fokus kepada pemulihan hak, pembaikan infrastruktur, peningkatan ekonomi serta kesejahteraan rakyat. Antara Tunjang lain yang ditampilkan termasuk pembangunan PMKS, pendidikan, hak wanita, keselamatan, anak muda dan kelestarian negeri.

Penubuhan Panel Pemantau Khas ini menandakan kesediaan Perikatan Nasional membawa corak pentadbiran baharu untuk Sabah yang telus, dipantau rakyat, serta berorientasikan keberhasilan sebenar.