BERSATU MUDA CARI TITIK KERJASAMA BINA POLITIK NILAI DEMI NEGARA

KUALA LUMPUR, 3 September 2026 – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dilihat mengadakan perbincangan bagi meneroka titik persamaan serta ruang kerjasama dalam membina pendekatan politik yang lebih berteraskan nilai, dasar dan kepentingan rakyat.

Perbincangan itu diadakan antara barisan pimpinan BERSATU diketuai Setiausaha Agungnya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersama Naib-Naib Presiden parti, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dan Dato’ Nolee Ashilin Mohammad Radzi, dengan pimpinan tertinggi MUDA.

Azmin menerusi satu hantaran di Facebook berkata, kedua-dua parti yang relatif muda dan segar itu mempunyai banyak persamaan dari segi prinsip perjuangan yang sederhana, progresif serta prihatin terhadap rakyat.

Menurut beliau, perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha membangunkan politik nilai serta politik yang mampu membawa kemakmuran kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Saya menyambut baik pandangan daripada pimpinan MUDA untuk membina masa depan yang lebih baik untuk Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Radzi berkata perbincangan tersebut berlangsung dalam suasana baik dan terbuka, dengan kedua-dua pihak memberi tumpuan kepada usaha membina politik yang berpaksikan dasar, penyelesaian serta kepentingan rakyat dan negara.

Beliau berharap ruang perbincangan seperti itu dapat membuka jalan kepada lebih banyak bentuk kerjasama yang baik pada masa akan datang.

“Mudah-mudahan ruang seperti ini terus membuka jalan kepada lebih banyak kerjasama yang baik demi masa depan Malaysia,” katanya.

Pertemuan berkenaan dilihat sebagai usaha BERSATU dan MUDA untuk mencari titik persamaan dalam landskap politik baharu, khususnya menerusi pendekatan yang menekankan nilai, dasar, penyelesaian terhadap permasalahan rakyat dan agenda pembangunan negara.

Ia juga mencerminkan keterbukaan kedua-dua parti untuk meneroka ruang dialog dan kerjasama berdasarkan prinsip serta kepentingan bersama, tanpa mengetepikan agenda memperkukuh masa depan Malaysia.