KUALA LUMPUR, 5 Sept — Siswa BERSATU menuntut pihak pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM), khususnya Bahagian Hal Ehwal Pelajar, memberikan penjelasan menyeluruh berhubung aspek keselamatan dan tindakan susulan selepas seorang mahasiswa dilaporkan meninggal dunia ketika menyertai Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) di UiTM Cawangan Pahang.
Dalam kenyataan media hari ini, Siswa BERSATU terlebih dahulu merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mahasiswa berkenaan, namun menegaskan bahawa ucapan takziah semata-mata tidak memadai apabila satu nyawa telah terkorban.
Menurutnya, pihak pengurusan universiti perlu menjelaskan aspek keselamatan, pemantauan serta tindakan susulan yang diambil berhubung tragedi tersebut.
Siswa BERSATU berkata, pihaknya memahami bahawa peserta KKEC telah melalui proses pengisytiharan kesihatan dan menandatangani borang pelepasan liabiliti sebelum menyertai pertandingan.
Bagaimanapun, perkara itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab institusi terhadap keselamatan dan kebajikan mahasiswa.
“KKEC melibatkan aktiviti berintensiti tinggi termasuk jalan lasak yang dilaksanakan pada waktu malam, justeru aspek pengurusan risiko dan prosedur kecemasan wajib diberikan perhatian serius,” menurut kenyataan itu.
Siswa BERSATU turut mendakwa terdapat insiden sebelum ini yang melibatkan mahasiswa UiTM Jasin dalam program KKEC.
Sehubungan itu, mereka mempersoalkan sama ada penambahbaikan telah dilaksanakan selepas insiden terdahulu, termasuk penilaian risiko serta langkah keselamatan yang diperketatkan.
“Jika langkah penambahbaikan telah dilaksanakan, mengapa tragedi seperti ini masih berlaku?” soal Siswa BERSATU.
Pada masa sama, Siswa BERSATU menegaskan pihaknya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak atau membuat sebarang kesimpulan sebelum siasatan lengkap dijalankan.
Namun, pendirian untuk tidak menuding jari, katanya, tidak bermaksud mahasiswa akan berdiam diri terhadap persoalan berkaitan keselamatan.
Justeru, Siswa BERSATU menuntut pihak pengurusan UiTM memberikan penjelasan yang jelas, terbuka dan bertanggungjawab mengenai apa yang berlaku, termasuk tindakan kecemasan yang telah diambil serta langkah seterusnya bagi memastikan aspek keselamatan mahasiswa diberikan perhatian sewajarnya.
KKEC 2026 diadakan di UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka, pada 3 hingga 8 September 2026 dengan penyertaan kontinjen Komander Kesatria dari beberapa kampus UiTM.
Siswa BERSATU Malaysia turut menegaskan bahawa tuntutan tersebut dibuat atas prinsip kebajikan dan keselamatan mahasiswa, selain mahu sebarang kelemahan yang dikenal pasti hasil siasatan diperbaiki bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
