KUALA LUMPUR, 5 OKTOBER 2026 – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengesahkan akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan datang, termasuk menggunakan simbol parti dalam pertandingan tersebut.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Biro Politik BERSATU yang dipengerusikan Pengerusi BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, petang ini selepas meneliti pelbagai pandangan serta analisa berkaitan penyertaan parti dalam PRN berkenaan.
Setiausaha Agung BERSATU, Mohamed Azmin Ali, berkata parti itu turut bersedia membincangkan dan memperhalusi bentuk kerjasama politik atau electoral pact bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.
Menurutnya, BERSATU juga akan memuktamadkan kerusi-kerusi yang bakal ditandingi dalam masa terdekat.
βKeputusan untuk mewujudkan electoral pact dalam PRN Melaka adalah bertujuan untuk mengoptimumkan potensi bagi menjamin kestabilan dan kelangsungan pentadbiran Kerajaan Negeri yang sederhana dan progresif demi kesejahteraan rakyat Negeri Melaka,β katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, BERSATU menyeru rakyat Melaka supaya memberi peluang kepada calon-calon parti itu untuk mewakili suara rakyat serta membawa perubahan yang didakwa memberi manfaat secara langsung kepada seluruh rakyat negeri berkenaan.
Keputusan tersebut menetapkan pendirian BERSATU untuk bertanding menggunakan simbol parti, pada masa sama membuka ruang kepada perbincangan mengenai bentuk kerjasama pilihan raya dengan pihak lain.
