SRIKANDI MUDA BERSATU SOKONG PENUH KEPUTUSAN MPT, HORMATI KEBIJAKSANAAN PEMIMPIN

PETALING JAYA, 5 November 2025 – Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Nurul Ezzati Azmi, menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU yang berlangsung pada 4 November 2025 di bawah pimpinan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Dalam kenyataannya hari ini, Nurul Ezzati menegaskan bahawa Srikandi Muda menyambut baik komitmen MPT untuk memperkukuhkan kesepakatan dan kestabilan dalaman parti.

“Keputusan MPT untuk menghentikan sebarang kemelut dalaman serta memperkukuh semangat perpaduan dan saling menghormati antara pimpinan mencerminkan kematangan politik serta keutuhan perjuangan parti dalam menghadapi cabaran semasa,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap kebijaksanaan kepimpinan parti dalam menetapkan calon dan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

“Srikandi Muda yakin pimpinan parti telah menilai dengan matang dalam memilih calon terbaik untuk diketengahkan di Sabah,” ujar beliau.

Mengulas pelantikan Lembaga Rayuan Parti yang dipengerusikan oleh Tan Sri Azhar Azizan @ Harun, Nurul Ezzati berkata, Srikandi Muda menghormati keputusan tersebut dan percaya barisan tokoh berpengalaman yang dilantik akan memperkukuh integriti dan ketelusan dalam tadbir urus parti.

Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan komitmen Srikandi Muda untuk memainkan peranan penting di Sabah sebagai jentera sokongan utama, terutamanya dalam menyantuni pengundi muda dan wanita.

“Kami akan memastikan mesej perjuangan parti sampai kepada rakyat dengan cara yang berkesan, inklusif dan berpaksikan nilai integriti, keadilan serta kesetiaan kepada rakyat,” katanya lagi.

Nurul Ezzati menutup kenyataannya dengan menegaskan bahawa Srikandi Muda berdiri teguh di belakang kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dan seluruh saf pimpinan parti bagi memastikan BERSATU kekal sebagai wadah perjuangan bangsa dan negara yang beramanah serta bermaruah.