KUALA LUMPUR, 25 Mei – Biro Politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan terbuka Presiden Parti Islam Se-Malaysia, Abdul Hadi Awang, yang membangkitkan beberapa isu berkaitan hubungan antara kedua-dua parti dalam sidang media di Rusila pada 22 Mei lalu.
Menurut kenyataan media BERSATU, parti itu berpandangan bahawa segala isu yang dibangkitkan termasuk pertukaran Menteri Besar Perlis, dakwaan kelemahan jentera pilihan raya BERSATU, tindakan disiplin terhadap ahli parti serta krisis politik di Negeri Sembilan sewajarnya dibincangkan secara dalaman melalui semangat musyawarah dalam Perikatan Nasional.
Namun begitu, BERSATU berkata kenyataan terbuka oleh Presiden PAS memerlukan penjelasan diberikan kepada umum bagi mengelakkan salah faham dan persepsi negatif terhadap parti itu.
Isu MB Perlis: BERSATU Tegaskan Hormati Kuasa Raja Perlis
Dalam kenyataan itu, BERSATU menegaskan bahawa pelantikan Menteri Besar Perlis adalah kuasa budibicara DYMM Tuanku Raja Perlis dan tidak wajar dipertikaikan.
Menurut BERSATU, DYMM Tuanku Raja Perlis sebelum ini telah memberi ruang secukupnya kepada kedua-dua parti untuk menyelesaikan kemelut politik negeri itu secara harmoni termasuk menitahkan Presiden BERSATU dan Presiden PAS menghadap baginda pada 25 Oktober 2025.
BERSATU berkata pihaknya bersedia untuk menghadap baginda namun sesi tersebut dibatalkan kerana Presiden PAS tidak dapat hadir atas sebab tertentu.
“BERSATU menjunjung titah Tuanku dan menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara baginda sama ada untuk melantik seorang Menteri Besar dari parti BERSATU atau PAS,” menurut kenyataan itu.
BERSATU turut menolak dakwaan bahawa parti itu mengkhianati PAS atau bahawa ADUN-ADUN BERSATU menarik sokongan terhadap Menteri Besar daripada PAS.
Dakwaan Tiada Jentera Pilihan Raya Ditolak
BERSATU turut menafikan dakwaan bahawa parti itu hanya memperbanyakkan calon tanpa mempunyai kekuatan jentera di akar umbi.
Menurut kenyataan itu, ibu pejabat parti menerima ratusan permohonan ahli baharu setiap hari, sekali gus menunjukkan sokongan yang semakin berkembang khususnya dalam kalangan anak muda.
BERSATU berkata kekuatan parti bukan sahaja bergantung kepada jentera, tetapi juga kepada jenama parti serta pengalaman kepimpinan yang pernah mentadbir negara.
Tindakan Disiplin Ikut Perlembagaan Parti
Menyentuh isu tindakan disiplin terhadap ahli-ahli BERSATU, parti itu menegaskan segala tindakan dibuat berdasarkan peruntukan Perlembagaan Parti dan hasil siasatan Lembaga Disiplin.
BERSATU menjelaskan bahawa rombakan jawatan kerajaan negeri di Kedah dan Kelantan dibuat kerana individu terlibat tidak lagi menjadi ahli parti selepas dikenakan tindakan disiplin.
Menurut kenyataan itu lagi, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) melalui surat bertarikh 7 Mei 2026 turut mengesahkan tindakan yang diambil BERSATU adalah selaras dengan perlembagaan parti.
“PAS sebagai parti anggota dalam PN sewajarnya menghormati dan tidak mencampuri urusan dalaman parti anggota lain berkaitan hal disiplin parti,” menurut kenyataan tersebut.
BERSATU Perjelas Krisis Politik Negeri Sembilan
Dalam isu krisis politik Negeri Sembilan, BERSATU menjelaskan bahawa Setiausaha Agungnya, Mohamed Azmin Ali, telah beberapa kali menghubungi Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, bagi membincangkan pendirian bersama selepas UMNO memutuskan untuk kekal bersama kerajaan perpaduan negeri.
BERSATU berkata cadangan supaya PN menarik sokongan terhadap 14 ADUN UMNO dibuat bagi mengelakkan persepsi bahawa PN menyokong kerjasama UMNO dengan PH di Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, PAS gagal memberikan maklum balas terhadap cadangan tersebut antara 28 April hingga 5 Mei lalu.
BERSATU turut menegaskan bahawa isu itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei dan penjelasan yang diberikan diterima tanpa bantahan.
Isu Kemasukan Parti Baharu Dalam PN
Mengenai dakwaan BERSATU menolak penyatuan ummah, parti itu menjelaskan bahawa pendiriannya adalah untuk mengadakan kerjasama pilihan raya terlebih dahulu dengan parti-parti lain sebelum mempertimbangkan keanggotaan rasmi dalam PN.
Menurut BERSATU, pendirian itu merupakan keputusan bersama yang dicapai secara konsensus dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN demi kepentingan strategik gabungan tersebut.
BERSATU Tegaskan Prinsip Musyawarah Dalam PN
Di akhir kenyataan, BERSATU menegaskan bahawa semua isu berkaitan dasar dan hala tuju PN seharusnya dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN dan bukannya dipertikaikan secara terbuka.
“Adalah tidak wajar keputusan-keputusan MT PN dicabar atau dipertikaikan di luar MT yang memberi gambaran seolah ada Presiden parti yang diberikan kuasa veto,” menurut kenyataan itu.
BERSATU turut menegaskan bahawa PN berjaya bertahan selama enam tahun hasil semangat saling menghormati, kebijaksanaan kepimpinan serta amalan konsensus dalam membuat keputusan.
