PETALING JAYA, 22 Mei – Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU Negeri Selangor mengecam kenyataan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berhubung isu ketiadaan hospital kerajaan di kawasan berkepadatan tinggi seperti Puchong, Petaling Jaya dan Subang yang didakwa masih berada dalam proses pencarian tapak tanah.
Ketua ARMADA BERSATU Selangor, Na’im Brundage menyifatkan alasan tersebut sebagai “memalukan” dan tidak masuk akal memandangkan kerajaan negeri telah mentadbir Selangor hampir lapan tahun.
Menurut beliau, alasan bahawa kerajaan negeri masih mencari tapak tanah untuk pembinaan hospital kerajaan dilihat menghina kebijaksanaan rakyat serta menunjukkan kegagalan pentadbiran negeri dalam menyelesaikan isu asas melibatkan kebajikan kesihatan rakyat.
Beliau berkata, sektor swasta dilihat tidak menghadapi masalah mendapatkan tanah untuk membina hospital pakar berskala besar seperti Hospital Picaso, Sunway Medical Centre Damansara dan Damansara Specialist Hospital 2 dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
“Persoalannya, bagaimana pihak swasta mampu memperoleh tanah untuk membina hospital, tetapi kerajaan negeri Selangor masih terkial-kial mencari tapak?” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Na’im turut mengingatkan bahawa kerajaan negeri mempunyai kuasa di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil alih mana-mana tanah milik swasta bagi tujuan kepentingan awam termasuk pembinaan hospital, sekolah dan balai polis.
Katanya, pentadbiran negeri sebelum ini juga pernah menggunakan akta tersebut bagi mendapatkan tanah untuk projek-projek besar seperti LRT3, MRT2 dan ECRL selain projek tebatan banjir.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa tindakan sama tidak dilaksanakan bagi tujuan pembinaan hospital kerajaan untuk penduduk di Puchong, Petaling Jaya dan Subang.
ARMADA BERSATU Selangor menegaskan kegagalan menyediakan hospital kerajaan di kawasan terbabit bukan berpunca daripada kekurangan tanah atau faktor geografi, sebaliknya disebabkan ketidakcekapan pentadbiran serta ketiadaan kesungguhan politik untuk mengutamakan kesihatan rakyat.
Dalam kenyataan sama, Na’im mendesak kerajaan negeri supaya menghentikan alasan dan segera mengambil tindakan konkrit bagi merealisasikan pembinaan hospital kerajaan di kawasan berkenaan demi keperluan rakyat Selangor.
