PARLIMEN, 22 Julai – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham yang merupakan Ahli Parlimen Tanah Merah menempelak Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek semalam apabila menteri seolah-olah mengelak untuk menjawab soalan yang ditanya berkenaan kesukaran Ahli Parlimen Pembangkang untuk menyampaikan bantuan atau sumbangan di kawasan masing-masing.
“Saya nak tanya kepada yang berhormat Menteri ya, bagaimanakah prosedur organisasi seperti syarikat ke Yayasan ke ataupun wakil wakil rakyat kami ini sama ada sebelah kerajaan ataupun pembangkang, untuk kami boleh memberi sumbangan kepada di mana mana satu kawasan. Seperti kita nak bagi sumbangan baju sekolah ke, beg sekolah ke alat tulis dan juga nak membagi sumbangan kepada guru guru untuk meningkatkan motivasi mereka”, soalnya.
Beliau melanjutkan lagi soalan, “sebab apa saya tengok, apabila di pihak terutama di pihak pembangkang ini kalau nak bagi sumbangan, berbagai bagai masalah. Terutama macam saya di Tanah Merah, nak kena melalui koperasi, lepas tu yang terakhir tak boleh bagi langsung”.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilihat cuba untuk mengelak bagi menjawab soalan tersebut pada ketika itu atau cuba untuk menangguhkan jawapan kepada soalan tersebut dengan memberi alasan soalan itu ada dalam aturan mesyuarat.
Namun Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Johari Abdul menegur dan memberi petua kepada menteri untuk menjawab soalan tersebut kerana kekangan masa.
“Menteri tak boleh buat lagu tu, menteri tak boleh, menteri tak boleh dictact soalan tu akan berada sebab kita takkan sampai, nombor 12 takkan sampai, jawab sama ada saya akan perhatikan masalah itu habis itu jawapan dia,” tegas Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Namun, jawapan yang diberikan oleh menteri tidak mencapai kepuasan hati Ahli Parlimen Tanah Merah dan menganggap jawapan itu nampak cantik tetapi tetap tidak menyelesaikan masalah ahli parlimen pembangkang yang berhadapan kesukaran untuk memberi bantuan atau sumbangan di premis tertentu.
