Parit Buntar, 21 Julai 2025 – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU , Halim Nayan, hari ini menjemput Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, untuk bersama rakyat dalam Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai ini.
Jemputan tersebut dibuat sebagai respon kepada kenyataan Datuk Seri Saarani yang menyifatkan himpunan tersebut sebagai tindakan membuang masa dan berisiko menjejaskan kestabilan negara.
Menurut Halim, kenyataan tersebut tidak mencerminkan semangat demokrasi yang matang, sebaliknya memperlihatkan betapa pemimpin kerajaan hari ini semakin jauh daripada denyut nadi rakyat.
“Himpunan ini bukanlah gerakan liar atau tindakan subversif, sebaliknya ia adalah luahan hati rakyat yang kian terhimpit dengan tekanan ekonomi, janji-janji palsu dan kegagalan pentadbiran kerajaan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau menegaskan bahawa hak untuk berhimpun secara aman dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, dan ia adalah saluran sah bagi rakyat menyampaikan mesej kepada pemerintah.
Tambahnya, saranan agar rakyat hanya “berdoa” tanpa mengambil tindakan adalah bukti bahawa pemimpin kerajaan tidak serius dalam menangani keresahan rakyat.
“Doa itu penting, tetapi perubahan hanya berlaku apabila rakyat berani menyuarakan pendirian mereka. Jika Menteri Besar benar-benar mahu mendengar suara rakyat, saya jemput beliau hadir bersama pada 26 Julai ini,” ujar beliau lagi.
Halim turut menyatakan bahawa kestabilan sebenar negara bukan datang daripada menyekat suara rakyat, tetapi daripada kesediaan pemimpin mendengar dan mengambil tindakan terhadap tuntutan rakyat.
Beliau mengakhiri kenyataannya dengan menyeru rakyat Perak dan seluruh negara supaya tidak takut untuk turun ke jalan secara aman.
“Ini bukan soal politik semata-mata. Ini soal maruah rakyat yang telah lama dikhianati sejak pentadbiran Kerajaan Madani,” tegas Halim.
Himpunan Turun Anwar dijangka akan menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat yang tidak berpuas hati dengan hala tuju kepimpinan negara dan kegagalan pentadbiran kerajaan dalam menangani isu rakyat.
