PEMIMPIN AKAR UMBI MELAKA SANGKAL LAPORAN BERSATU MELAKA TERBUBAR

MELAKA, 25 FEB 2026 — Dakwaan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Melaka lumpuh atau telah dibubarkan disifatkan sebagai tidak benar, tidak bertanggungjawab serta bermotifkan kepentingan politik tertentu.

Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Masjid Tanah, Nazri Ramli menegaskan bahawa tiada sebarang pembubaran rasmi BERSATU Melaka dibuat mengikut perlembagaan parti mahupun melalui saluran yang sah.

Menurut beliau, cubaan menggambarkan seolah-olah organisasi parti di negeri itu telah terkubur hanyalah propaganda terancang yang bertujuan melemahkan semangat ahli serta mengelirukan rakyat.

“Kami bersama pimpinan di bahagian-bahagian lain akan memastikan BERSATU Melaka bangkit lebih kuat dan tersusun,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan sama, pelantikan Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Melaka yang baharu turut disambut baik oleh kepimpinan akar umbi parti, yang melihatnya sebagai langkah penting memperkukuh kepimpinan negeri.

Sementara itu, Ketua ARMADA BERSATU Melaka, Jefri Safry berkata keputusan pembubaran jawatankuasa bahagian-bahagian tertentu di negeri berkenaan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada proses penambahbaikan dalaman parti, bukannya tanda kelemahan organisasi.

Beliau berkata pihaknya menghormati pendirian yang telah diambil serta merakamkan penghargaan kepada semua pimpinan dan ahli yang telah menyumbang kepada pembangunan parti sebelum ini.

“BERSATU Negeri Melaka tidak terbubar. Parti kekal utuh dan akan segera menyusun semula struktur kepimpinan serta organisasi bagi memastikan gerak kerja berjalan secara lebih teratur dan berkesan,” katanya.

Tambah beliau, fokus utama ketika ini adalah memperkukuh saf perjuangan, mempereratkan kesatuan dalam kalangan ahli serta memastikan parti terus bersedia menghadapi cabaran politik semasa.

Dalam masa sama, BERSATU Melaka turut menegaskan komitmen berterusan bersama Perikatan Nasional serta parti-parti komponen lain dalam memperkasakan kerjasama politik demi membela kepentingan agama, bangsa dan negara.

Kepimpinan negeri yakin dengan semangat kebersamaan serta iltizam ahli di semua peringkat, BERSATU Melaka akan kembali lebih tersusun, lebih kukuh dan terus mara ke hadapan dalam menghadapi landskap politik semasa.