“KAMI MUAK DENGAN JANJI PALSU ANWAR IBRAHIM!” – SRIKANDI MUDA BERSATU 

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Ketua Srikandi Muda BERSATU Malaysia, Nurul Ezzati binti Azmi hari ini mengeluarkan kenyataan tegas susulan perhimpunan besar-besaran ‘Turun Anwar’ yang berlangsung di Dataran Merdeka Sabtu lalu, menyifatkan himpunan itu sebagai satu isyarat jelas rakyat menuntut perubahan kepimpinan negara.

Dalam kenyataan medianya, Nurul Ezzati berkata ratusan ribu rakyat yang membanjiri Dataran Merdeka bukan hadir atas dorongan politik semata-mata, tetapi terdorong oleh kekecewaan dan keresahan yang semakin membarah terhadap kegagalan pentadbiran kerajaan hari ini di bawah Perdana Menteri ke-10.

“Hari ini, lautan manusia berkumpul di Dataran Merdeka bukan semata-mata untuk menunjukkan kemarahan, tetapi sebagai isyarat jelas bahawa rakyat sudah muak dengan kegagalan kepimpinan kerajaan hari ini,” katanya.

Beliau turut menyentuh isu bantuan kewangan yang dianggap tidak mencerminkan realiti rakyat bawahan, khususnya golongan B40, dengan menyindir bantuan RM100 sebagai “sindiran pedih” kepada keluarga miskin.

“RM100 mungkin cukup untuk mereka yang tidak pernah susah, tetapi bagi rakyat marhaen, ia hanyalah sindiran pedih yang menambah luka,” tambahnya.

Nurul Ezzati turut menegaskan bahawa Srikandi Muda BERSATU menyokong penuh suara rakyat yang turun berhimpun secara aman dan menyeru Perdana Menteri agar segera meletak jawatan bagi memberi laluan kepada kepimpinan yang lebih berwibawa dan berintegriti.

“Cukuplah dengan janji palsu dan kegagalan demi kegagalan. Berilah ruang kepada barisan kepimpinan yang lebih telus dan benar-benar mampu memulihkan negara dari kemunduran ekonomi dan ketempangan sosial,” katanya.

Mengakhiri kenyataan, beliau memberi amaran bahawa suara rakyat hari ini bukan sekadar luahan rasa tetapi isyarat awal penolakan terhadap pentadbiran yang sudah hilang kepercayaan rakyat.