PARIT BUNTAR, 25 Jun 2025 — Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU merangkap EXCO Armada BERSATU Malaysia, Halim Nayan, mendakwa sokongan rakyat terhadap Kerajaan MADANI semakin merosot meskipun Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan memperoleh sokongan 55% seperti hasil kajian Merdeka Center baru-baru ini. Menurutnya, angka itu perlu dinilai secara teliti kerana realitinya majoriti rakyat, terutama pengundi Melayu, semakin menjauh daripada kerajaan pimpinan Anwar.
Halim berkata, berdasarkan rekod PRU15, PRN 2023 dan dapatan Merdeka Center sebelum ini, sokongan pengundi Melayu terhadap Anwar hanya berada sekitar 27% hingga 30%, manakala majoriti besar kekal bersama Perikatan Nasional (PN). Beliau menegaskan kemenangan besar PN di Kelantan, Terengganu dan Kedah, serta keputusan PRK Kuala Terengganu dan Kemaman, membuktikan keyakinan pengundi Melayu terus kukuh bersama PN walaupun berdepan jentera kerajaan Persekutuan.
Dalam masa yang sama, Halim mendakwa penolakan terhadap kerajaan juga mula timbul dalam kalangan pengundi bukan Melayu. Peningkatan undi kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam PRK DUN Ayer Kuning baru-baru ini dianggap sebagai isyarat jelas bahawa penyokong tradisi Pakatan Harapan, khususnya masyarakat Cina dan India, semakin hilang keyakinan terhadap DAP dan PH. Katanya, ini membuktikan kerajaan gagal mengekalkan sokongan teras bukan Melayu yang selama ini menjadi sandaran mereka.
Tambah beliau, meskipun kerajaan mendakwa inflasi menurun dan ekonomi berkembang, rakyat tidak merasai manfaat sebenar apabila harga barang kekal tinggi, subsidi bahan api dipotong dan pelaksanaan cukai SST yang diperluas mulai 1 Julai 2025 dijangka terus membebankan rakyat B40 dan M40. Tinjauan Merdeka Center juga menunjukkan 50% rakyat percaya negara sedang menuju ke arah yang salah, manakala hanya 43% berpendapat sebaliknya.
Beliau mengingatkan parti-parti kerajaan agar mendengar suara akar umbi dan tidak terperangkap dengan angka sokongan yang tidak mencerminkan sentimen sebenar rakyat. “Apa yang disebut sebagai sokongan 55% kepada Anwar Ibrahim hanyalah bayangan kebergantungan kepada kelompok tertentu. Apabila tiba pilihan raya umum, suara rakyat akan membuktikan kebenaran,” katanya.
