ARMADA BERSATU PERTAHAN MAHASISWA; “YB ADAM ADLI PERNAH TURUNKAN BENDERA UMNO, PAMER GAMBAR NAJIB SIMBOL PROTES”

Pasir Salak, 24 Jun 2025 — Armada BERSATU Malaysia memandang serius tindakan simbolik sekumpulan mahasiswa yang membakar gambar Perdana Menteri baru-baru ini, dengan menyifatkannya sebagai ekspresi politik sah dalam sebuah demokrasi matang dan bukan satu bentuk jenayah atau tindakan ganas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Exco Armada BERSATU Malaysia merangkap Ketua Biro Graduan Muda, Mahasiswa dan Undi 18, Muhammad Airil Fitri Jalalludin berkata, reaksi berlebihan terhadap tindakan simbolik itu hanya mencerminkan ketidakmatangan pihak tertentu dalam menangani suara protes anak muda.

“Tindakan ini lahir daripada kekecewaan mahasiswa terhadap janji yang tidak ditepati, dasar yang pincang, dan rasa tidak diwakili oleh kepimpinan hari ini. Menyamakan protes ini dengan hasutan atau penghinaan melampau adalah satu penghukuman tidak seimbang,” katanya.

Airil Fitri turut mengimbau sejarah gerakan mahasiswa negara dengan menegaskan bahawa mahasiswa sentiasa berani menegur pemerintah sejak dahulu. Beliau mengambil contoh tindakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan YB Adam Adli pernah menurunkan bendera UMNO di PWTC yang mempamerkan gambar Dato’ Seri Najib Razak sebagai simbol protes sewaktu bergelar mahasiswa.

“Dulu, tindakan itu dipuji pejuang kebebasan bersuara. Hari ini, tindakan hampir sama dianggap ancaman. Adakah keberanian hanya sah jika berpihak kepada pembangkang dan dianggap jenayah bila mengkritik kerajaan yang sedang memerintah?” soalnya.

Beliau menegaskan prinsip kebebasan bersuara tidak boleh bersifat terpilih dan kerajaan digesa benar-benar menghayati semangat Madani dengan menghormati ruang mahasiswa untuk berbeza pandangan.