HOSPITAL PARIT BUNTAR DIDESAK BERFUNGSI SEPENUHNYA DEMI KEPENTINGAN RAKYAT – HALIM NAYAN

PARIT BUNTAR, 11 DISEMBER  — Hospital Parit Buntar yang dibuka pada 3 September 2025 terus menjadi tumpuan harapan penduduk Parlimen Parit Buntar dan kawasan berhampiran, namun beberapa kelemahan asas didakwa masih menghalang hospital baharu itu daripada berfungsi sepenuhnya. Perkara itu dibangkitkan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, Halim Nayan, yang menyatakan kebimbangan terhadap tahap penyampaian perkhidmatan hospital berkenaan.

Menurut beliau, aduan paling mendesak adalah ketiadaan perkhidmatan pesakit luar (OPD) di hospital baharu, menyebabkan pesakit terpaksa kembali mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan yang kini sesak dan tidak mampu menampung jumlah pesakit harian. Situasi itu bukan sahaja menimbulkan ketidakselesaan, malah meningkatkan risiko jangkitan terutama bagi kanak-kanak, warga emas dan pesakit bergejala yang terpaksa berasak dalam ruang sempit.

Halim turut mendedahkan bahawa perkhidmatan pergigian masih dijalankan di bangunan hospital lama, namun tiada farmasi disediakan di situ. Pesakit yang selesai menerima rawatan terpaksa ke klinik kesihatan lain untuk mendapatkan ubat, manakala dalam kes kecemasan, petugas pergigian perlu berpindah ke hospital baharu untuk melengkapkan rawatan. Keadaan itu, tegasnya, melambatkan tindakan klinikal, membebankan pesakit dan memberi tekanan berlebihan kepada petugas kesihatan.

Beliau juga menekankan isu keselamatan di hospital lama yang didakwa tidak lagi mempunyai pengawal keselamatan sehingga berlaku kes pecah masuk dan kehilangan aset. Kini, staf terpaksa menguruskan pagar utama sendiri, sesuatu yang disifatkannya bukan sahaja tidak wajar, malah mendedahkan mereka kepada risiko keselamatan yang lebih besar. Katanya, aset kesihatan yang masih berada di fasiliti lama perlu dipelihara kerana ia merupakan milik rakyat.

Mengulas keseluruhan keadaan, Halim berkata masalah tersebut menggambarkan bahawa Hospital Parit Buntar masih belum memberikan manfaat sepenuhnya kepada masyarakat yang amat bergantung kepada perkhidmatan kesihatan di kawasan itu. Beliau menggesa kerajaan serta Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengambil tindakan segera dan menyeluruh agar hospital baharu itu benar-benar berfungsi seperti yang diharapkan.

“Hospital ini dibina untuk rakyat, maka ia perlulah benar-benar berfungsi untuk rakyat,” tegasnya.