SEREMBAN, 9 Dis — Polemik layanan berbeza terhadap wakil rakyat pembangkang semakin hangat selepas kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, YB Mohamad Hanifah Abu Baker mendakwa tandatangan ADUN pembangkang “tidak laku” untuk urusan rasmi kerajaan. Beliau berkata, amalan ini akhirnya akan menyusahkan dan membebani rakyat khususnya golongan B40 antaranya kerana terpaksa berulang-alik semata mata kerana dokumen yang ditandatangani wakil rakyat pilihan mereka ditolak agensi kerajaan.
Menurut Hanifah yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU Negeri Sembilan, insiden terbaharu melibatkan seorang penduduk Labu yang memohon pengesahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi diminta kembali semula kerana tandatangan beliau tidak diterima. Pegawai bertugas didakwa mengarahkan pemohon mendapatkan tandatangan Penyelaras DUN, iaitu pegawai lantikan politik kerajaan negeri. Hanifah kemudian hadir sendiri ke pejabat JKM Seremban 2 dan dimaklumkan bahawa pegawai berkenaan hanya mengikut arahan Exco Kerajaan Negeri.
Beliau menegaskan tindakan kerajaan negeri itu jelas merupakan diskriminasi politik yang merugikan rakyat. Hanifah kesal kerana Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), yang sebelum ini lantang bercakap soal reformasi, kini didakwa mengulangi amalan menekan pihak pembangkang sedangkan ianya sesuatu yang dahulu mereka sendiri kecam ketika berada di luar kerajaan.
Hanifah turut menyifatkan langkah mewajibkan pengesahan Penyelaras DUN sebagai satu bentuk penganiayaan kepada rakyat miskin yang mungkin tinggal jauh dari pusat pentadbiran penyelaras. “Kalau kerajaan benar-benar amal dasar ini, saya cabar padamkan sahaja ruangan ‘ADUN’ dalam borang rasmi kawasan pembangkang. Jangan letak jika tandatangan kami tak laku,” katanya ketika berbahas dalam Persidangan DUN semalam.
Isu itu mencetuskan perbalahan apabila ADUN Jeram Padang, Dato’ Mohd Zaidy Abdul Kadir bangkit mempertahankan tindakan tersebut dengan menegaskan ia sebahagian daripada ‘peraturan’ kerajaan negeri. Namun Hanifah membidas kenyataan itu dengan mengingatkan janji lama PH yang berikrar tidak akan mengulangi kesilapan pentadbiran terdahulu. “Dulu kata nak buat perubahan, tapi hari ini ulang benda sama. Akhirnya rakyat yang jadi mangsa,” katanya.
