PARIT BUNTAR, 24 Sept – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU merangkap EXCO ARMADA BERSATU Malaysia, Halim Nayan, menyelar skim subsidi petrol BUDI95 kerana disifatkan tidak benar-benar bersasar apabila golongan kaya dan miskin menikmati jumlah subsidi yang sama. Katanya, dasar tersebut gagal membezakan tahap kemampuan rakyat dan akhirnya tidak mencapai objektif meringankan beban golongan berpendapatan rendah.
Menurut Halim, pendekatan kerajaan yang memberi kelayakan automatik kepada semua pemegang MyKad dengan lesen memandu aktif jelas terlalu longgar. “Jika kerajaan benar-benar ikhlas dan tidak sekadar mencari sokongan politik, harga petrol bukan sahaja boleh ditetapkan pada RM1.99, malah boleh rendah lagi, dengan syarat subsidi ini benar-benar bersasar” soalnya.
Beliau menegaskan bahawa subsidi sepatutnya difokuskan kepada kelompok benar-benar memerlukan, termasuk pekerja luar bandar, keluarga berpendapatan sederhana dan rendah, serta sektor pengangkutan awam. Sebaliknya, dengan pengagihan sama rata, kerajaan dilihat lebih cenderung mencari sokongan politik berbanding membela rakyat.
Halim turut memberi amaran bahawa langkah ini akan membebankan ekonomi rakyat apabila had 300 liter sebulan tidak mencukupi, khususnya bagi keluarga besar dan pekerja yang perlu berulang-alik jauh. Tanpa mekanisme harga siling selepas kuota, katanya, rakyat berisiko terpaksa membayar harga pasaran yang mungkin lebih tinggi sementara golongan kaya terus menikmati keistimewaan sama.
“Jika kerajaan benar-benar ikhlas, subsidi harus ditumpukan kepada golongan miskin dan sederhana, bukannya diagihkan secara pukul rata. Dasar seperti ini hanya tampak cantik di atas kertas tetapi di lapangan ia menindas rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan,” tegas Halim.
