AIDIL QAYYUM DITAHAN JAM 1 PAGI DIBAWAH AKTA HASUTAN DIPERCAYAI BERKAIT VIDEO HARGA MINYAK

DANG WANGI, 30 Sept – Ahli Jawatankuasa Jabatan Komunikasi dan Media Baharu ARMADA BERSATU Malaysia, Aidil Qayyum, ditahan polis awal pagi tadi dipercayai berkaitan dengan satu video TikTok mengenai isu harga minyak.

Dalam satu hantaran di media sosial kira-kira jam 1 pagi, Aidil memaklumkan dirinya ditahan oleh Polis Bukit Aman di bawah Akta Hasutan dan dibawa ke Balai Polis Shah Alam sebelum dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. Beliau turut menyatakan pegawai yang menahannya memberi layanan baik.

Ketua Penerangan ARMADA BERSATU, Harris Idaham Rashid, mengesahkan penahanan tersebut dan menyatakan siasatan dibuka bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Beliau mengecam keras tindakan menggunakan undang-undang yang dianggap lapuk itu terhadap seorang anak muda.

“Saudara Aidil ditangkap hanya sebab memuat naik satu video TikTok berkenaan harga minyak. ARMADA akan terus melawan penggunaan akta ini terhadap anak muda untuk tujuan intimidasi politik,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu ARMADA, Na’im Brundage, menyifatkan tindakan tersebut sebagai bercanggah dengan janji Pakatan Harapan yang pernah berikrar untuk memansuhkan Akta Hasutan. “Nampaknya akta ini hanya zalim apabila ia digunakan terhadap mereka, tetapi tidak zalim jika digunakan terhadap lawan politik mereka,” katanya.

Penahanan Aidil dijangka mencetuskan polemik baharu mengenai kebebasan bersuara dan penggunaan undang-undang yang sebelum ini dikritik sebagai mengekang ruang demokrasi di negara ini.