TUNTUTAN MANSUH MATRIKULASI IBARAT ‘KACANG LUPAKAN KULIT’ – EXCO ARMADA BERSATU

PASIR SALAK, 13 Sept – Exco ARMADA BERSATU Malaysia, Muhammad Airil Fitri bin Jalalludin, menyifatkan desakan Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) agar program Matrikulasi dimansuhkan sebagai tindakan dangkal, hipokrit dan tidak bertanggungjawab.

Beliau menegaskan, ironinya salah seorang pimpinan UMANY sendiri merupakan lepasan Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, namun hari ini tampil menolak sistem yang pernah membuka ruang pendidikan kepadanya. “Inilah contoh jelas pepatah ‘bagai kacang lupakan kulit’ – menikam akar yang pernah menyuburkannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Airil, Matrikulasi bukanlah musuh kepada STPM kerana kedua-duanya adalah laluan sah, adil dan diiktiraf untuk melahirkan pelajar cemerlang. Katanya lagi, walaupun STPM setara dengan A-Level, itu tidak memberi lesen untuk menolak matrikulasi yang telah terbukti berjasa melahirkan ribuan graduan berjaya.

Beliau turut menolak dakwaan UMANY bahawa sistem kemasukan universiti tidak telus hanya kerana ada pelajar cemerlang yang gagal memperoleh kursus pilihan. “Hakikatnya, setiap tahun ribuan pelajar bersaing untuk tempat terhad. Mengambil contoh terpilih untuk menuduh sistem pincang hanyalah permainan persepsi yang mengelirukan masyarakat,” ujarnya.

Airil menuduh UMANY sekadar mencari publisiti murahan dengan memperalatkan isu pendidikan. Katanya, sekiranya benar mahu memperjuangkan masa depan pelajar, UMANY seharusnya menuntut penambahbaikan menyeluruh, bukannya menghapuskan laluan pendidikan yang telah memberi peluang kepada ratusan ribu anak muda – termasuk pemimpin mereka sendiri.

“Program Matrikulasi mesti dipertahan dan diperkasa, bukan dimansuhkan. UMANY sepatutnya menjadi suara belia yang matang, bukan suara yang menconteng arang ke wajah sendiri,” tegas beliau yang juga Ketua Biro Graduan Muda, Mahasiswa dan Undi 18 ARMADA BERSATU Malaysia.