TENDER SEMULA 4 BUAH HELIKOPTER; IKMAL HISHAM ‘DOAKAN’ MINDEF TIDAK TERPENGARUH DENGAN PELOBI TERTENTU

TANAH MERAH, 26 Ogos – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Dato’ Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz tampil sebagai suara pembangkang dalam mempertahankan keperluan Tentera Darat Malaysia (TDM) mendapatkan helikopter baharu berkeupayaan “medium-lift”.

Beliau menegaskan langkah Kementerian Pertahanan (MINDEF) membuka tender semula adalah tindakan tepat selepas kegagalan syarikat pembekal sebelum ini, dan selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu ATM dilengkapkan dengan aset udara baharu.

“Untuk berlaku adil dengan MINDEF dan juga TDM, dalam tender semula yang diwar-warkan pada 4 Ogos 2025, dokumen berkenaan tidak pernah menyebut bahawa MINDEF/ TDM mesti mendapatkan pesawat helikopter jenis Black Hawk.”

Namun dalam kenyataannya, Ikmal Hisham menekankan bahawa hanya helikopter seperti jenis Black Hawk dan H225M/EC725 mampu memenuhi keperluan operasi semasa, khususnya dalam misi tempur dan Combat Search and Rescue (CSAR).

”Walau bagaimanapun, keupayaan yang mesti ada pada helikopter berkenaan adalah “winching” dan “underslung” capability”, tambahnya lagi.

Beliau menekankan yang keputusan ini bukan soal politik, tetapi soal keselamatan negara. Aset pertahanan mesti diputuskan berdasarkan keperluan sebenar end-user, bukan tekanan mana-mana pelobi.

Langkah Ikmal Hisham ini memperlihatkan PN terus konsisten menegur kerajaan dalam aspek kesiapsiagaan ketenteraan, di samping memastikan perancangan pertahanan negara seperti digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan 2019 tidak tergadai.