Kuala Lumpur, 22 Ogos 2025 – Siswa Bersatu Malaysia menzahirkan kebimbangan serius terhadap peningkatan kes buli yang berlaku di institusi pendidikan sehingga mengorbankan nyawa pelajar. Menurut mereka, kejadian tersebut jelas menjejaskan fungsi utama pusat pengajian sebagai tempat menimba ilmu, sebaliknya bertukar menjadi medan yang mengancam keselamatan pelajar.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Siswa Bersatu merujuk kepada kes kematian dua pelajar, arwah Zara Qairina dan Syamsul Haris, yang meninggal dunia di institusi pendidikan masing-masing akibat insiden berkait buli. Menurut mereka, dua kes ini hanyalah sebahagian daripada kes berprofil tinggi, sedangkan kemungkinan masih banyak lagi insiden terpencil lain yang tidak mendapat perhatian sewajarnya.
Sehubungan itu, Siswa Bersatu menuntut agar siasatan menyeluruh dan bebas daripada sebarang pengaruh dilakukan bagi memastikan pelaku buli serta pihak yang melindungi mereka dibawa ke muka pengadilan. Katanya, hanya dengan hukuman tegas, budaya buli yang semakin berakar dapat dibendung daripada terus berleluasa.
Siswa Bersatu turut menyeru Kementerian Pendidikan serta kementerian berkaitan untuk mengambil langkah holistik dalam mengekang gejala ini. Mereka menegaskan, semua pihak yang terlibat dalam kes buli – sama ada pelajar mahupun pihak pentadbiran institusi – perlu dikenakan tindakan keras sekiranya terbukti bersalah.
“Institusi pendidikan seharusnya menjadi medan melahirkan generasi berminda kelas pertama, bukannya tempat di mana nyawa boleh diragut sesuka hati,” tegas kenyataan itu. Siswa Bersatu sekali lagi menegaskan komitmen mereka dalam memperjuangkan keselamatan pelajar demi menjamin masa depan negara yang lebih terjamin
