TOKOH PEMIMPIN PEMBANGKANG PALING POPULAR, MUHYIDDIN LAYAK PIMPIN NEGARA SEMULA – SRIKANDI MUDA BERSATU

Ipoh, 21 Ogos — Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Ipoh Barat menyatakan keyakinan bahawa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, masih layak untuk kembali menerajui negara.

Ketua Srikandi Muda Ipoh Barat, Nurmira Nabilla Azmi berkata keyakinan itu bersandarkan rekod kepimpinan Muhyiddin ketika berdepan krisis, khususnya sewaktu pandemik Covid-19, di mana beliau berjaya menstabilkan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat. Katanya, walaupun terdapat usaha pihak tertentu cuba menimbulkan keraguan terhadap kewibawaan beliau, sokongan akar umbi dan rakyat terhadap Muhyiddin kekal utuh.

Menurutnya, cabaran besar yang sedang dihadapi negara seperti hutang mencecah RM1.3 trilion, tekanan kos sara hidup, pengetatan fiskal serta keperluan memulihkan keyakinan pelabur memerlukan seorang pemimpin berpengalaman. “Tan Sri Muhyiddin mempunyai kemampuan untuk merangka pelan berfasa, menarik pelaburan berkualiti dan dalam masa sama membela rakyat marhaen,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Nurmira turut merujuk tinjauan terkini oleh Institut Masa Depan Malaysia (MASA) yang meletakkan Muhyiddin sebagai tokoh pembangkang paling popular untuk jawatan Perdana Menteri. “Populariti ini seiring dengan sokongan berterusan rakyat terhadap Perikatan Nasional yang dipimpin beliau dengan gaya mesra rakyat. Malah, gelaran ‘Abah’ yang diberikan rakyat adalah simbol kasih dan kepercayaan terhadap kepimpinan beliau,” jelasnya.

Srikandi Muda Ipoh Barat menegaskan bahawa PRU16 bakal menjadi peluang besar untuk meneruskan momentum “gelombang PN” yang tercetus pada PRU15. “Bersandarkan rekod cemerlang, kemampuan mengurus krisis dan sokongan rakyat, kami yakin Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu kembali mengemudi negara ke arah kejayaan yang lebih besar,” tegas Nurmira.