ROMBAKAN KABINET KALI KEDUA DALAM TEMPOH TIGA TAHUN BUKTI ANWAR LEMAH, TIADA VISI JELAS

Oleh; Aisham Mohd

KUALA LUMPUR, 17 DIS 2025 – Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini merupakan kali kedua dilakukan dalam tempoh kurang tiga tahun pentadbiran Kerajaan Madani, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kejelasan visi dan hala tuju kepimpinan negara.

Mengikut rekod, Anwar sebelum ini pernah menyatakan kebanggaan terhadap pembentukan Kabinet yang lebih kecil pada peringkat awal pemerintahannya, dengan alasan ia mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan berbanding Kabinet terdahulu ketika era Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pendekatan itu turut digambarkan sebagai sebahagian daripada komitmen reformasi dan kecekapan pentadbiran.

Namun, setahun selepas pembentukan Kabinet pertama, rombakan kali pertama terpaksa dilakukan pada hujung 2023 susulan dakwaan kegagalan beberapa kementerian berfungsi dengan berkesan. Rombakan tersebut menyaksikan penstrukturan semula beberapa portfolio utama, termasuk pemecahan kementerian seperti Komunikasi dan Multimedia, serta perubahan dalam Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang sebelum itu diterajui Mohamad Sabu.

Pada 2025, pentadbiran Anwar sekali lagi melakukan rombakan Kabinet berskala besar. Langkah itu dibuat dalam suasana luar biasa apabila beberapa kementerian sebelum ini berada dalam keadaan tanpa menteri berikutan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kestabilan pentadbiran dan kesinambungan dasar.

Menurut Aisham, kekerapan rombakan Kabinet dan pertukaran kepimpinan kementerian berpotensi mengganggu proses perancangan serta pelaksanaan dasar jangka panjang negara. Menurut mereka, perubahan berulang kali pada peringkat menteri bukan sahaja melambatkan kemajuan, malah memberi isyarat bahawa perancangan pentadbiran belum benar-benar mantap dan tersusun.

Keadaan ini, dilihat bercanggah dengan janji awal Kerajaan Madani yang menekankan reformasi institusi, tadbir urus berdisiplin dan perancangan strategik yang jelas. Mereka berpendapat, tanpa kestabilan dan hala tuju yang konsisten, agenda reformasi yang dijanjikan sukar direalisasikan sepenuhnya.

Setakat ini, kepimpinan kerajaan menegaskan bahawa rombakan Kabinet dibuat bagi memperkukuh pentadbiran dan meningkatkan keberkesanan penyampaian dasar. Namun, perbahasan awam yang berterusan menunjukkan isu kejelasan visi dan keupayaan pelaksanaan kekal menjadi antara cabaran utama pentadbiran Anwar Ibrahim.