“BETA MELIHAT PN SATU ENTITI POLITIK, BUKAN TERPISAH MENGIKUT PAS ATAU BERSATU” – RAJA PERLIS BERKENAN LANTIK ADUN BERSATU MENTERI BESAR 

ARAU, 28 DIS 2025 — Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah agar semua pihak menghentikan spekulasi, tohmahan dan tuduhan susulan pelantikan Menteri Besar Perlis yang baharu, sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada usaha memajukan negeri.

Menurut kenyataan media Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Raja Perlis telah berkenan melantik Yang Amat Berhormat Tuan Abu Bakar bin Hamzah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu selaras Perkara 37 dan 39 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.

Tuanku Raja Perlis turut bertitah bahawa Perikatan Nasional (PN) dilihat sebagai satu entiti politik yang bersatu, bukan terpisah mengikut parti komponen. “Beta melihat PN sebagai satu entiti politik yang bersatu, bukan terpisah mengikut parti komponen seperti PAS atau BERSATU”, titah baginda.

Baginda bertitah, pertukaran Menteri Besar lazimnya berlaku hampir setiap lima tahun, namun situasi di Perlis adalah luar kebiasaan apabila penyandang jawatan meletakkan jawatan atas faktor kesihatan sehingga memerlukan pelantikan baharu.

“Malangnya, selepas itu timbul pelbagai spekulasi, tohmahan dan tuduhan. Beta berharap semua perkara ini dihentikan demi kebaikan negeri. Kita mahu negeri ini mara ke hadapan,” titah baginda ketika Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Istana Arau, hari ini.

Menurut baginda, proses melantik Menteri Besar bukanlah keputusan yang mudah kerana kesemua wakil rakyat mempunyai kaliber yang hampir sama, sekali gus memerlukan pertimbangan mendalam demi kepentingan dan pembangunan negeri pada masa hadapan. Baginda juga memaklumkan majoriti wakil rakyat telah menyatakan kesediaan untuk menerima mana-mana calon yang dipilih dan menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Raja Perlis.

Dalam pada itu, baginda menyeru semua wakil rakyat PN agar merapatkan hubungan dan bekerjasama sebagai satu pasukan tanpa jurang antara parti komponen demi kepentingan rakyat.